5 rakyat Malaysia ditahan di Jepun seludup 5kg kokain dalam kasut

Lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, Jepun, kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 5kg dadah jenih kokain yang disembunyikan dalam kasut dipakai mereka.
Menurut Berita Harian yang memetik laporan daripada agensi berita Jepun, semua suspek menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ditahan sejurus tiba di Jepun pada Sabtu lalu.
Kegiatan mereka terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki salah seorang suspek kerana kasut yang dipakainya mempunyai tapak yang terlalu tebal.
Pemeriksaan kemudiannya menemukan dadah di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum pegawai kastam mengesan tiga lagi individu yang dipercayai datang bersama mereka dan turut mengesan bahan terlarang disembunyikan dengan cara sama.
Setiap suspek dilaporkan menyembunyikan kira-kira 1kg kokain, masing-masing 500 gram di bawah pelapik kasut kiri dan kanan. Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta)
Salah seorang daripada lima suspek lelaki yang berusia 24 tahun mendakwa mendapat tawaran untuk membawa dadah berkenaan dengan bayaran RM8,000 di aplikasi Telegram.
Katanya, dia turut diberikan sepasang kasut untuk digunakan bagi menyembunyikan dadah berkenaan.
Ketika disoal siasat empat suspek lelaki mengaku membawa dadah berkenaan manakala suspek wanita berusia 25 tahun mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.
Polis Tokyo kini menyiasat kemungkinan semua suspek direkrut sindiket jenayah berpangkalan di Malaysia untuk menjalankan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.