Nepal henti SAR susulan banjir dahsyat

Nepal memutuskan untuk menghentikan fasa mencari dan menyelamat susulan banjir dahsyat di sungai Bhotekoshi dan Trishuli pada 26 Ogos lalu, selepas harapan menemui mangsa hilang semakin tipis 40 hari selepas bencana itu, kata Sekretariat Perdana Menteri pada Isnin, lapor Xinhua.
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana yang dipengerusikan Perdana Menteri, Balendra Shah, pada Isnin mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan usaha pembinaan semula dan pemulihan, sambil meneruskan operasi mencari yang penting saja.
Menurut sekretariat itu, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jawatankuasa Eksekutif Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA), serta hasil pemeriksaan di lapangan.
Seramai 1,455 orang disahkan maut, manakala 5,285 masih hilang setakat 3 Okt lalu susulan banjir dahsyat itu, kata NDRRMA.
Mesyuarat itu turut mencadangkan peruntukan 559.18 bilion rupee Nepal (USD3.62 bilion) kepada Kementerian Kewangan bagi pelan dan program membina semula serta memulihkan kawasan terjejas akibat banjir dan bencana lain berkaitan musim monsun.
Dalam mesyuarat itu, Shah berkata, usaha pengurusan bencana dilaksanakan melalui penyelarasan antara kerajaan persekutuan, kerajaan wilayah dan kerajaan tempatan, manakala usaha pembinaan semula serta pemulihan akan dilaksanakan menerusi mekanisme sama.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.