Anwar arah Loke, Rapid KL selesai segera tren sesak

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, kementeriannya, dan Rapid KL menyelesaikan masalah kesesakan perkhidmatan kereta api.
Dalam hantaran di Threads, Anwar menyeru pihak berkenaan mencari jalan penyelesaian segera bagi mengatasi isu tersebut.
“Ambil perhatian pada permasalahan ini dan cari penyelesaian segera.
“Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak. Kita mesti lebih peka dan bertindak,” katanya.
Arahan perdana menteri menyusul susulan aduan seorang pengguna Threads malam tadi mengenai kesesakan di platform stesen kereta api.
Pengguna @siti.anisahj memuat naik gambar platform stesen yang sesak di stesen LRT Gombak dan Taipan.
“Assalamualaikum @anwaribrahim_my. Nak minta gerabak ‘train’ lebih sikit boleh? Hari-hari begini..’drive jem’, naik ‘train full’,” katanya.
Maklum balas Anwar mendapat perhatian meluas, meraih hampir 37,000 tanda suka, lebih 360 komen, dan sekitar 2,200 perkongsian semula setakat 9.30 pagi.
Perkhidmatan transit Rapid KL berdepan gangguan perkhidmatan berulang, kesesakan penumpang, dan penyesuaian jadual yang dirancang disebabkan projek infrastruktur kritikal serta keadaan tren usang.
Pada Februari, Loke berkata pengendali perkhidmatan kereta api Prasarana telah menempah 26 set tren baharu untuk laluan LRT Kelana Jaya.
Laluan LRT Kelana Jaya menampung 290,000 penumpang setiap hari, menjadikannya laluan LRT tersibuk di Lembah Klang.
Penyerahan set tren tersebut dijadual bermula Mac 2029, disusuli pada kadar dua set sebulan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.