Badan Peguam larang rakaman dalam mahkamah elak perbicaraan melalui media

Badan Peguam menerima pakai satu ketetapan melarang peguam membuat rakaman audio atau video prosiding mahkamah atau mengambil gambar bagi menghalang penyebaran bahan itu kepada umum serta perbicaraan melalui media.
Presidennya, Anand Raj, berkata media sosial mempunyai “kecenderungan terhadap video pendek atau petikan ringkas” prosiding mahkamah.
“Ini akan menyebabkan rakaman dan gambar akhirnya disebarkan di luar konteks sehingga sering mencetuskan kontroversi dan menjadi tular, khasnya terhadap perkara tidak difahami atau dikeluarkan daripada konteks asal, yang lazim tidak membawa sebarang implikasi negatif,” katanya kepada FMT.
Jelasnya, ketetapan itu perlu bagi menegaskan semula, menjelaskan serta menyelaras peraturan dan prinsip berkaitan yang melindungi integriti sistem keadilan, selain mengelakkan perbicaraan melalui media, termasuk media sosial.
“Ada pelbagai peraturan kompleks berkaitan etika guaman, etika profesional, keadilan, proses wajar, ketelusan, keadilan, hak keistimewaan dan pelbagai pertimbangan lain yang menjelaskan mengapa kesucian serta keseriusan prosiding mahkamah tidak patut disiarkan sambil lewa di di media sosial.”
Menurut pekeliling Badan Peguam yang dikeluarkan baru-baru ini, ketetapan itu mula berkuat kuasa 14 Okt lalu.
Larangan itu bukan saja terpakai kepada prosiding dalam mahkamah, tetapi turut merangkumi prosiding di lokasi, termasuk ketika pelaksanaan penghakiman atau lawatan ke lokasi bagi membantu perbicaraan yang dihadiri pegawai mahkamah dan peguam.
“Seorang peguam atau pelatih dalam kamar tidak boleh menerbit, menyiarkan, berkongsi, memuat naik, menyebar atau menghasilkan semula sebarang rakaman, gambar atau bahan lain berkaitan melalui mana-mana media, media sosial atau platform lain,” menurut ketetapan itu.
Larangan itu turut terpakai di kawasan lain di bawah seliaan mahkamah, sebagaimana yang dinyatakan melalui notis, papan tanda atau pekeliling.
Tetapi, larangan itu tidak terpakai untuk majlis rasmi atau dalam keadaan yang mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Walaupun tiada alasan dinyatakan bagi ketetapan itu, difahamkan ada peguam yang pernah memuat naik gambar atau rakaman diambil di kawasan larangan ke media sosial.
Pada 2024, Badan Peguam mengingatkan ahlinya bahawa rakaman prosiding mahkamah yang disediakan badan kehakiman hanya untuk penyediaan transkrip kes dan tidak boleh diterbitkan.
Ia turut mengingatkan peguam terhadap aku janji yang perlu diberikan kepada pendaftar Mahkamah Persekutuan setiap kali mereka memohon mendapatkan rakaman sedemikian, yang secara jelas melarang penerbitannya.
Seorang peguam yang enggan dinamakan berkata, menjadi amalan biasa untuk peguam merakam prosiding dalam mahkamah atau dalam talian menggunakan peranti mereka, yang kemudiannya dikongsi dengan anak guam atau pihak media.
Beliau berkata, terdapat juga kebimbangan gambar dan video pegawai mahkamah menyita harta individu boleh tular di media sosial, yang akan memalukan pihak kalah dalam kes mereka.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.