Penjaga profesional tak cukup untuk galak pasangan tambah anak

Usaha melatih lebih ramai penjaga profesional boleh membantu mengurangkan beban pasangan, khususnya wanita yang perlu menguruskan anak dan ibu bapa serentak, namun langkah itu sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan kadar kelahiran negara.
Pakar berkata faktor lebih besar seperti kos sara hidup, harga perumahan, pendidikan anak, kestabilan pekerjaan dan kemampuan mendapatkan perkhidmatan penjagaan perlu ditangani secara menyeluruh.
Nurul Izzati Asyikin Zulkifly daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pasangan dalam kategori ‘sandwich generation’ berdepan cabaran besar kerana perlu mengimbangi keperluan tiga generasi di samping tuntutan kerjaya.
‘Sandwich generation’ merujuk kepada golongan dewasa berusia antara 35-60 tahun yang perlu menjaga anak dan ibu bapa pada masa yang sama.
Pakar sains kemanusiaan ini berkata penjagaan anak dan warga emas memerlukan peruntukan besar dari segi masa, tenaga dan kewangan, menjadikan perkhidmatan penjagaan profesional semakin penting.

“Kos perkhidmatan jagaan pusat yang tinggi akan menambah beban kewangan isi rumah, terutamanya jika warga emas berkenaan tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Implikasinya, pasangan muda kekal berwaspada untuk menambah bilangan cahaya mata.
“Oleh itu, kebolehdapatan perkhidmatan penjagaan mesti diselaraskan dengan kemampuan kos dan kelestarian pelan persaraan warga emas,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas usaha yang sedang dilakukan kerajaan dalam mempergiatkan latihan bagi penjaga profesional dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memulakan keluarga serta menangani kadar kesuburan negara semakin merosot.
Pada 24 Ogos lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata sebahagian wanita keberatan mempunyai keluarga lebih besar kerana perlu bekerja sambil menjaga ibu bapa di rumah.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menggalakkan rakyat mempunyai anak, termasuk melalui program membantu pasangan berdepan kesukaran hamil, “terpulang kepada mereka (pasangan berkahwin) untuk berusaha”.
Julai lalu, statistik rasmi menunjukkan kadar kelahiran merosot daripada 16.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2015 kepada hanya 12.2 pada 2024.
Negara turut merekodkan jumlah kelahiran hidup terendah pada 2024, hanya 414,918 kelahiran — jumlah tahunan terendah dalam tempoh 44 tahun sejak 1980.
Mengulas lanjut, Izzati berkata latihan lebih ramai penjaga profesional tetap satu langkah strategik bagi menyokong pembentukan keluarga, tetapi dasar itu perlu disertai pengawalan kos, kepelbagaian bentuk penjagaan dan pengukuhan sistem persaraan warga emas.
Tambahnya, faktor sosiobudaya seperti stigma terhadap anak yang menggunakan khidmat penjaga profesional untuk menguruskan ibu bapa turut mempengaruhi pertimbangan.
Sementara itu, Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata penjaga profesional dapat membantu wanita meneruskan kerjaya tanpa terlalu terbeban dengan urusan rumah tangga.
Namun, kos sara hidup, harga rumah, perbelanjaan pendidikan anak dan jaminan pekerjaan kekal antara faktor lebih dominan dalam menentukan keputusan pasangan muda untuk mempunyai lebih ramai anak.
Menurutnya, antara bentuk sokongan yang boleh dipertimbangkan ialah penyediaan pusat jagaan berkualiti dan mampu milik untuk kanak-kanak serta warga emas, terutama berhampiran kawasan perumahan atau tempat kerja.

“(Selain itu) dasar waktu bekerja anjal dan kebenaran bekerja dari rumah yang disokong oleh majikan sektor awam serta swasta serta peluasan pelepasan cukai pendapatan untuk perbelanjaan perubatan ibu bapa dan yuran pusat jagaan anak juga bantuan tunai,” katanya.
Menurut Zainal lagi, latihan penjaga profesional perlu disertai kawal selia, pensijilan dan piawaian jelas bagi memastikan keselamatan serta kualiti penjagaan warga emas dan kanak-kanak.
“Selain itu, latihan rasmi berstruktur seperti pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia sangat penting untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga emas serta kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan pusat jagaan haram atau perkhidmatan yang tidak memenuhi piawaian.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.