AGC tegaskan tak cabar perintah pengampunan Najib

Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan permohonan menangguhkan pelaksanaan tahanan dalam rumah Najib Razak bukan percubaan mempertikaikan pengampunan bersyarat diberikan kepada bekas perdana menteri itu.
Sebaliknya, isu dipersoalkan adalah kesan undang-undang bagi perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib.
“AGC menegaskan bahawa ia tidak sama sekali mempertikai, mengenepi atau berhasrat untuk menggantung perintah pengampunan bersyarat diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“AGC sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
AGC turut menjelaskan isu dibangkitkan tidak menyentuh tentang keesahan atau kewibawaan perintah pengampunan bersyarat tersebut.
Pihaknya menekankan perintah pelepasan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada Jabatan Penjara, yang menyatakan: “Dan bahawasanya denda tersebut yang berjumlah RM50 juta kini telah dibayar kepada mahkamah ini: Ini adalah untuk memberi kuasa kepada anda untuk melepaskan Najib Razak tersebut […] serta-merta.”
Perintah mahkamah yang sama juga menyatakan Najib perlu menjalani baki hukumannya bawah tahanan dalam rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda atau membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan rumah, atau sama ada perintah tersebut membawa kesan hukuman dalam kes SRC International telah selesai.”
Katanya, ia mempunyai kaitan langsung dengan perintah Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB yang menetapkan hukuman penjara dalam kes terbabit hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Najib menjalani hukuman penjara 15 tahun bagi pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram selepas hukuman kes SRC International beliau tamat.
AGC menyatakan, jika hukuman kes SRC International masih berkuat kuasa, baki tempoh hukuman tersebut hendaklah dijalani mengikut perintah pengampunan bersyarat berkenaan.
“Sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat-kuasa, maka tidak timbul persoalan mengenai pelaksanaan baki hukuman tersebut selaras dengan perintah pengampunan bersyarat.
“Sebaliknya, sekiranya hukuman SRC International telah selesai dari segi undang-undang, maka perlu ditentukan kesannya terhadap permulaan hukuman dalam kes 1MDB.
“Kedua-dua kemungkinan ini mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza dan tidak sewajarnya diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak,” katanya.
AGC berkata, implikasi undang-undang perintah mahkamah tersebut hendaklah dirujuk kepada mahkamah dengan segera bagi mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.
“Adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan peguam negara mengambil alih prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda,” katanya mengulas kenyataan pasukan peguam Najib, Shafee & Co, yang mendakwa peguam negara bertindak melampaui kuasanya, mengingkari titah diraja, dan meneruskan penahanan Najib secara tidak sah.
Terdahulu, Istana Negara hari ini menyatakan Yang di-Pertuan Agong menegaskan perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata, dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang melibatkan bekas perdana menteri itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.