Polis siasat kaitan kapal bawa 1.6 tan ketamin dengan sindiket Malaysia

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan bekerjasama dengan Polis Indonesia (Polri) bagi menyiasat kemungkinan penglibatan sindiket yang beroperasi di Malaysia dalam kes rampasan 1.16 tan ketamin daripada kapal tangki MT GLOBAL 168 di perairan Tanjung Balai Asahan, Indonesia pada 20 Okt lepas.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata pihaknya turut menyiasat kaitan kapal berkenaan dengan Malaysia, serta kemungkinan penglibatan warga tempatan dalam sindiket terbabit.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Polri bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini, termasuk kemungkinan penglibatan sindiket yang beroperasi di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 23 Okt mengenai penahanan sebuah kapal yang membawa 1,160 bungkusan ketamin seberat keseluruhan 1.16 tan, yang disimpan dalam 58 guni.
Hussein berkata siasatan awal pihak berkuasa Indonesia mendapati kapal itu dipercayai melakukan pergerakan luar biasa antara 14 hingga 18 Okt sebelum ditahan pada 20 Okt.
“Kapal berkenaan dipercayai bertolak dari lokasi dok di Pasir Gudang, Johor, sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api dan kemudian bergerak menuju ke Laut Andaman.
“Di kawasan itu, kapal berkenaan dipercayai melakukan pemindahan muatan antara kapal atau ship-to-ship (STS) di tengah laut,” katanya.
Hussein berkata sistem pengenalan automatik (AIS) kapal itu dipercayai dimatikan selama tiga hari, selain dikesan melakukan pergerakan mencurigakan.
Beliau berkata lapan kru kapal itu turut ditahan, terdiri daripada tujuh warga Indonesia berusia 25 hingga 71 tahun dan seorang warga China berusia 42 tahun.
Kapal tangki sepanjang 57m itu menggunakan nama transponder GLOBAL 168, bernombor IMO 9078347 dan MMSI 457615000 serta mengibarkan bendera Mongolia.
Media Indonesia sebelum ini melaporkan pihak berkuasa negara itu merampas lebih dua tan dadah dianggarkan bernilai USD300 juta (kira-kira RM1.3 bilion) menerusi dua operasi di Pulau Sumatera, termasuk penahanan sebuah kapal tangki yang dikaitkan dengan syarikat berpangkalan di Johor Bahru.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.