Persahabatan melangkau politik

Vong Fook Hoi tidak menaruh sepenuh kepercayaan terhadap ahli politik Barisan Nasional (BN) ketika pertama kali meminta bantuan daripada Noor Helmy Abdul Halem pada 2020.
Walaupun tanpa dijangka BN kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan Melaka, kebanyakan orang termasuk Vong masih tidak berpuas hati dengan gabungan itu.
Permintaan ringkas untuk mendapatkan bantuan kebajikan berkembang menjadi persahabatan dan kini sebahagian daripada aktiviti awam Helmy serta video di media sosialnya.
Helmy yang ketika itu ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, Vong berusia 82 tahun ketika tampil meminta bantuannya, selepas gagal dalam permohonan bantuan warga emas sejak berusia 60 tahun.
“Dia menyimpan kemarahan itu selama 20 tahun. Mungkin dia pernah mohon sekali, tetapi gagal. Selepas itu, dia kecewa dan tidak pernah cuba lagi sehinggalah dia datang berjumpa saya,” katanya kepada FMT.
Helmy berkata, beliau hanya membantu mengemukakan permohonan Vong, tetapi kejayaan permohonan itu menjadi titik permulaan kepada persahabatan mereka, walaupun selepas beliau dipilih sebagai Adun Duyong pada PRN Melaka 2021.
Lama-kelamaan, Vong mula menaruh kepercayaan terhadap Helmy dan membawa aduan penduduk lain kepadanya.
Ahli politik Umno itu menyifatkan Vong, yang kini 88 tahun, banyak membantunya memahami keresahan masyarakat Cina, termasuk rasa tidak puas hati dan sebab mereka berasa terpinggir daripada kerajaan.
“Keharmonian yang kita lihat hari ini tidak terbina dalam sekelip mata. Sebelum ini, jurang kepercayaan antara masyarakat dan kerajaan sangat besar.
“Terdapat isu kepercayaan, salah faham dan kegagalan komunikasi yang ketara. Saya cuba menangani semua isu ini dan menyelesaikannya satu demi satu.”
Bagi Vong pula, kepercayaan itu terbina daripada kesediaan Helmy menghulurkan bantuan, termasuk dalam perkara yang melangkaui tanggungjawab biasa wakil rakyat.
Antaranya, beliau pernah menghubungi Helmy kira-kira 1.30 pagi ketika kurang sihat dan memerlukan rawatan doktor.
“Dia sedang tidur, tetapi dia bangun dan datang menjemput saya,” kata Vong.
Helmy pernah membeli sebuah basikal baharu untuk Vong selepas melihat keadaan basikal lamanya, walaupun warga emas itu berkeras basikalnya masih boleh digunakan.
Keprihatinan sedemikian menjadikan Vong antara penyokong Helmy yang paling dikenali.
Dikenali sebagai Uncle Wong, beliau kerap muncul dalam video Adun itu di media sosial. Vong menolak tanggapan sokongannya terhadap Helmy didorong wang.
“Tolong jangan salah faham. Saya bukan katakan semua ini kerana dia beri saya wang. Bukan itu sebabnya. Dia benar-benar prihatin terhadap rakyat,” kata Vong sambil menambah Helmy melayan semua orang tanpa mengira kaum dengan penuh hormat.
“Dia melayan masyarakat Cina, Melayu, India dan semua orang dengan baik. Dia tidak pernah kata hanya mahu menjaga kaumnya sendiri.”
Helmy pula berkata, beliau tidak pernah memberikan wang kepada Vong, yang menyertai kempennya “kerana percaya terhadap saya”.
Jelasnya, video media sosialnya bertujuan menerangkan perkhidmatan setempat dan membetulkan salah tanggapan terhadap bantuan kerajaan.
Sebagai contoh, katanya, penduduk sering mengadu perkhidmatan pemotongan rumput sebelum video dihasilkan bagi menjelaskan jadual dan piawaian ditetapkan, termasuk rumput tidak boleh melebihi 5cm selepas dipotong.
Beliau berkata, jumlah aduan berkurangan sejak itu dan aduan masih ada lebih bersifat khusus.
Helmy berharap dapat mempertahankan kerusi Duyong selama satu penggal lagi untuk menyelesaikan “tugas belum selesai”, termasuk projek yang mula dirancang bekas penyandang daripada DAP, Damian Yeo.
“Antaranya, pembinaan sebuah klinik kesihatan di Duyong. Ia dimulakan Damian. Beliau yang mencadangkan tapak di belakang Japerun di sini. Saya teruskan apa yang telah dimulakan dan kini ia hampir ke peringkat pelaksanaan.”
Bagi Vong: “Saya benar-benar harap dia menang tahun ini. Dia tidak boleh kalah. Saya harap dia menang. Saya turut berdoa kepada Tian Gong (Maharaja Jed) untuk membantunya menang kerana dia terlalu baik.”
Helmy akan berentap dengan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan dalam pertembungan satu lawan satu bagi merebut DUN Duyong.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.