Senator gesa siasat insiden siling bocor di Hospital Seberang Jaya

Seorang senator menggesa siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian kebocoran besar dan limpahan air hujan baru-baru ini di blok baharu Hospital Seberang Jaya, yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan hanya setahun lalu.
Dr RA Lingeshwaran berkata beberapa kebocoran siling berlaku di bahagian Blok B selepas hujan lebat di hospital itu pada Sabtu lalu.
“Perkara ini serius kerana bangunan baharu sepatutnya mampu menahan apa jua kadar curahan hujan atau cuaca buruk. Namun, seperti yang dapat dilihat dalam klip video yang tular, kakitangan dilihat berjalan di koridor sambil menggunakan payung.
“Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku di bangunan hospital baharu yang sepatutnya dibina mengikut piawaian keselamatan dan kejuruteraan yang ketat?” katanya dalam satu kenyataan.
Lingeshwaran berkata tempoh tanggungan kecacatan bagi blok baharu itu berakhir pada 12 April, yang bermakna kementerian perlu menanggung kos membaiki kerosakan tersebut.
Beliau berkata siasatan perlu memberi tumpuan kepada sama ada kejadian itu berpunca daripada kelemahan reka bentuk, kejuruteraan, mutu pembinaan dan sistem saliran.
“Tiada jaminan kejadian sama tidak akan berulang sehingga menjejaskan wad, peralatan perubatan, bekalan elektrik atau kawasan rawatan kritikal.
“Kementerian mesti bertindak pantas untuk mengenal pasti punca kejadian dan menilai kerosakan yang berlaku,” katanya.
Lingeshwaran juga menggesa Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengaudit keseluruhan projek itu bagi menentukan sama ada berlaku kecuaian atau kegagalan mematuhi spesifikasi.
Kenyataan hospital
Ketika dihubungi, seorang jurucakap Kementerian Kesihatan mengemukakan kenyataan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang yang mengesahkan hospital berkenaan mengalami kebocoran besar dari siling dan limpahan air hujan luar biasa di beberapa lokasi, melibatkan Blok B yang baharu serta Blok A yang lama.
“Pada 7 Nov, antara 5.45 petang hingga 7 malam, hujan luar biasa lebat berserta angin kencang berlaku di hospital itu. Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak menjejaskan keselamatan pesakit atau peralatan perubatan.
“Kakitangan hospital mengambil langkah sewajarnya untuk menguruskan pesakit dan melindungi peralatan perubatan di kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Jabatan berkenaan berkata tiada kejadian limpahan air hujan luar biasa seumpamanya dilaporkan sebelum 7 Nov.
Menurutnya, unit kejuruteraan hospital dan kontraktor konsesi perkhidmatan sokongan kini sedang menilai tahap kerosakan serta melaksanakan langkah kawalan dan pemulihan yang sewajarnya bagi menangani keadaan itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.