Hanya lebih 6,000 rakyat Malaysia daftar e-Konsular pada 2025

Hanya lebih 6,000 rakyat Malaysia mendaftar menerusi sistem e-Konsular sepanjang 2025 walaupun ratusan ribu melakukan perjalanan ke luar negara, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Beliau berkata kadar pendaftaran yang rendah menyukarkan Kementerian Luar mengesan dan menghubungi rakyat Malaysia sekiranya berlaku kecemasan di negara yang mereka kunjungi.
Katanya, mereka perlu mengisi maklumat perjalanan, lokasi keberadaan serta nombor telefon yang boleh dihubungi bagi membolehkan kementerian mengenal pasti dan menyalurkan bantuan apabila diperlukan.
“Beratus ribu rakyat Malaysia keluar negara, tetapi yang mengisi e-Konsular hanya lebih 6,000 orang.
“Apabila sudah berlaku macam-macam perkara, barulah hendak mendesak kerajaan. Bagaimana kita hendak menghubungi mereka kalau kita tidak tahu mereka berada di mana. Jangan begitu,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata e-Konsular berfungsi sebagai pusat data dan maklumat bagi membantu kementerian berurusan dengan rakyat Malaysia di luar negara, terutama ketika berlaku situasi yang memerlukan tindakan segera.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia mendaftar sebelum melakukan perjalanan ke luar negara supaya urusan bantuan tidak terjejas sekiranya berlaku kecemasan.
“Daftarlah masing-masing. Jangan nanti apabila berlaku sesuatu, barulah kita kelam-kabut. Kita tidak mahu keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Isam Isa (BN-Tampin) mengenai langkah kerajaan meningkatkan pendaftaran e-Konsular dalam kalangan rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara.
Isam berkata maklumat perjalanan dan lokasi perlu dikemas kini bagi memudahkan tindakan segera, terutama membabitkan rakyat Malaysia yang menyertai aktiviti berisiko tinggi seperti pendakian dan ekspedisi.
Pada 26 Ogos lalu, banjir dan aliran puing melanda kawasan Rasuwa berhampiran sempadan Nepal-Tibet, menyebabkan puluhan rakyat Malaysia terputus hubungan dengan keluarga.
Seramai 55 rakyat Malaysia pada mulanya dilaporkan hilang, namun seorang daripada mereka kemudian ditemukan selamat dan pulang ke tanah air pada 2 Okt, menjadikan 54 orang masih belum ditemukan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.