Laungan merdeka masih bergema dalam ingatan Kalsom Taib

Hampir tujuh dekad sudah berlalu, namun kenangan Kalsom Taib menyaksikan sambutan Merdeka di Kuala Lumpur masih segar dalam ingatannya.
Penulis dan penggiat warisan kulinari itu berusia 15 tahun ketika menghadiri sambutan bersejarah itu. Walaupun ketika itu tinggal di Johor Bahru, beliau kebetulan berada di ibu negara sempena cuti sekolah.
“Suasananya sangat meriah dan penuh keterujaan. Kedai-kedai dihias cantik sebagai persediaan menyambut peristiwa besar ini.
“Banyak premis dihiasi bendera baharu Persekutuan Tanah Melayu yang sangat bermakna bagi kami kerana ia direka oleh seorang anak Johor,” katanya kepada FMT Lifestyle.
Kalsom, 84, ialah kolumnis dan penulis yang terkenal menerusi karya biografi serta buku masakan yang mendokumentasikan kekayaan tradisi kulinari Malaysia.
Beberapa bukunya termasuk “Johor Palate: Tanjung Puteri Recipes” (2015), “Malaysia’s Culinary Heritage: The Best of Authentic Traditional Recipes” (2020) dan “Recipes Are For Sharing” (2022) menerima pengiktirafan dalam Gourmand World Cookbook Awards.
Bapanya, Taib Andak, ketika itu merupakan pegawai daerah Kuala Lumpur dan terbabit dalam penganjuran sambutan Merdeka di ibu negara.
Sebagai anaknya, Kalsom berpeluang mendapat tempat yang baik untuk menyaksikan sendiri acara bersejarah tersebut.

Kalsom masih ingat bangun awal pada pagi itu dan mengenakan pakaian kegemarannya. Beliau turut membawa payung sebagai persediaan jika hujan.
Walaupun hujan sempat turun sebelum acara bermula, cuaca kembali baik menjelang sambutan.
“Saya sudah memahami kepentingan Merdeka ketika itu kerana mempunyai seorang guru yang sangat baik, Cik Ting Wen Lian, yang menerangkan kepada kami maksudnya, bahawa kita akan bebas daripada penjajahan.
“Perasaan ketika itu sangat mengujakan,” katanya.
Kalsom antara puluhan ribu rakyat daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang yang memenuhi Stadium Merdeka yang ketika itu baru siap dibina.
Beliau turut mengingati deretan bas yang membawa orang ramai dari seluruh negara ke Kuala Lumpur.
Kemuncak sambutan ialah ketika Duke of Gloucester, yang mewakili Ratu Elizabeth II, menyerahkan watikah kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman sebelum perdana menteri pertama itu membacakan Pemasyhuran Kemerdekaan.
“Kemudian Tunku mengangkat tangannya dan melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali. Setiap kali beliau melaungkannya, seluruh stadium turut menyahut.
“Saya juga ikut melaungkannya dengan suara kecil saya.
“Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, gema laungan ‘Merdeka’ itu kekal sebagai antara kenangan paling sukar saya lupakan sepanjang hidup,” katanya.
Kalsom kemudian menyaksikan bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan, menandakan bermulanya lembaran baharu dalam sejarah negara.
Beliau turut mendengar lagu ‘Negaraku’ dipersembahkan Koir Merdeka yang ditubuhkan Ahmad Merican bersama konduktor Tony Fonseka.
Menurutnya, suasana di stadium ketika itu begitu luar biasa dan penuh semangat.
“Ia satu pengalaman yang sangat indah,” katanya.

Lebih tiga dekad kemudian, Kalsom berpeluang bertemu Tunku Abdul Rahman pada ulang tahun kelahirannya yang ke-87 pada 3 Feb 1990.
“Saya beritahu Tunku bahawa saya peminatnya dan pernah melihatnya ketika sambutan Merdeka. Beliau ketawa.
“Beliau seorang yang sangat lembut dan tenang ketika bercakap, seperti seorang datuk,” katanya.
Dalam buku terbaharunya, “A Life Reimagined: A Memoir”, yang dilancarkan awal bulan ini, Kalsom turut berkongsi pengalaman menyaksikan Merdeka selain pelbagai detik penting sepanjang kehidupannya.
Diterbitkan syarikatnya, Kalsom Taib Publishing, memoir itu mengisahkan zaman kanak-kanaknya di Muar ketika pendudukan Jepun, kerjaya korporat bersama syarikat seperti Shell Malaysia dan Nestlé serta kenangannya ketika era Reformasi.
Kalsom berkata memoir itu ditulis untuk mewariskan pengetahuan dan kisah kehidupannya kepada generasi akan datang, selain merakam kenangannya mengenai Malaysia yang banyak berubah sepanjang hayatnya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap negara, beliau mahu nilai yang diperjuangkan pemimpin terdahulu terus dipertahan dan diamalkan rakyat Malaysia hari ini.
Menurutnya, Malaysia sudah mencapai banyak kemajuan dari segi pembangunan infrastruktur dan teknologi, namun masih mempunyai ruang untuk berkembang dalam aspek sahsiah dan integriti.
“Pada 1957, kita mencapai kemerdekaan daripada penjajahan. Tetapi setiap generasi mempunyai bentuk kemerdekaan lain yang perlu diperjuangkan, iaitu kebebasan daripada masalah seperti rasuah, salah guna kuasa dan ketamakan.
“Saya bangga melihat sejauh mana Malaysia sudah berkembang. Namun, saya mahu Malaysia pada masa depan bukan sahaja lebih maju, tetapi juga lebih berprinsip,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.