Penganalisis beza pandangan mengenai strategi DAP ‘kekal buat masa ini’

Keputusan DAP untuk kekal dalam Jemaah Menteri mendapat reaksi berbeza daripada penganalisis politik.
Daripada dua penganalisis yang bercakap kepada FMT, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata parti itu masih mempunyai ruang untuk memulihkan kepercayaan jika menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk memberi tekanan bagi merealisasikan reformasi dijanjikan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berpendapat ‘hampir tiada apa’ yang boleh dilakukan DAP dari dalam Jemaah Menteri ketika ini untuk mendapatkan semula sokongan terasnya.
Perwakilan yang menghadiri kongres khas pada 16 Ogos bagi menentukan masa depan parti dalam kerajaan, mengundi dengan majoriti besar untuk mengekalkan pemimpin mereka dalam Jemaah Menteri sehingga tamat penggal kerajaan semasa.
Seorang perwakilan dari Kuala Lumpur, Sangeet Kaur Deo, merumuskan sentimen perwakilan dengan ringkas apabila berkata parti itu perlu ‘kekal buat masa ini’ walaupun ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong semakin meningkat.
Bagaimanapun, Sangeet yang merupakan anggota jawatankuasa DAP Kuala Lumpur berkata parti itu perlu menilai semula hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta mendapatkan semula suaranya. Katanya, terlalu banyak kompromi yang dibuat parti menyebabkan DAP kelihatan tidak lantang.
Kongres khas itu diadakan susulan kekalahan teruk DAP dalam PRN Sabah, selain kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) di Johor dan Negeri Sembilan.
Belum terlambat
Syaza berkata DAP masih boleh mempertahankan keputusannya untuk kekal dalam Jemaah Menteri jika parti itu lebih tegas mendesak reformasi dan memastikan rakan-rakannya dalam kerajaan perpaduan bertanggungjawab.
Katanya, parti itu perlu menunjukkan bahawa kemajuan dalam merealisasikan reformasi dijanjikan berlaku kerana DAP berada dalam kerajaan. Menurutnya, pendekatan itu lebih baik daripada sekadar mengetengahkan prestasi menteri-menterinya sambil menyalahkan Anwar atau rakan parti lain apabila reformasi terbantut.
“DAP tidak boleh sekadar berkata, ‘kita mempunyai menteri yang baik, tetapi kegagalan reformasi tertentu adalah salah perdana menteri atau pihak lain’,” katanya.

Syaza berkata dari perspektif rakyat, kerajaan dilihat sebagai satu entiti dan bukannya gabungan beberapa komponen yang mempunyai tanggungjawab berasingan.
Katanya, reformasi institusi menawarkan peluang terbaik kepada DAP untuk menunjukkan pengaruhnya kerana langkah sedemikian kurang berkemungkinan terheret ke dalam politik perkauman.
“Apa yang DAP perlu tunjukkan ialah kerajaan bergerak ke hadapan dengan reformasi institusi kerana DAP berada di situ untuk membantu mengemudi dan memastikan janji-janji ditunaikan,” katanya.
Syaza berkata kemerosotan sokongan dalam pilihan raya semata-mata tidak seharusnya menjadi alasan untuk berundur kerana tindakan itu boleh menyebabkan parti berkenaan dilihat cuba mengelak tanggungjawab terhadap kegagalan kerajaan.
Oh, yang memberikan pandangan berbeza, berkata keputusan kerajaan yang dilihat sebagai kemunduran oleh pengundi bukan Melayu boleh menyebabkan sokongan terhadap DAP terus merosot kerana menteri-menterinya terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.

Beliau memetik contoh isu ‘kuil haram’ atau ‘kuil tanpa kebenaran’ sebagai antara isu yang rumit.
Katanya, arahan Anwar kepada pihak berkuasa tempatan pada Februari supaya mengambil tindakan terhadap pihak yang membina kuil Hindu tanpa kelulusan sewajarnya hanya akan menyebabkan pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan diri.
Pada Julai, Anwar memohon maaf kerana menggunakan istilah ‘kuil haram’ ketika membincangkan isu itu dan mengakui bahawa penggunaan istilah tersebut merupakan satu kesilapan.
Atas isu itu sahaja, Oh berkata lebih baik DAP keluar daripada Jemaah Menteri tetapi terus menyokong kerajaan di Dewan Rakyat.
“Dengan cara itu, DAP dapat menunjukkan bantahannya terhadap keputusan yang tidak dipersetujuinya tanpa menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata parti itu mendedahkan dirinya kepada risiko lebih besar jika terus berada dalam Jemaah Menteri tetapi gagal melaksanakan perubahan yang diharapkan oleh penyokong terasnya.
“Parti itu perlu mengukuhkan sokongan teras daripada masyarakat bukan Melayu. Jika tidak, bukan sahaja ia gagal mendapatkan sokongan Melayu yang diidamkannya, malah juga akan kehilangan sokongan tradisional bukan Melayunya. Akhirnya, ia akan menjadi seperti Gerakan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.