Wanita ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditetak parang

Seorang lelaki maut dipercayai ditetak dengan parang di depan sebuah kedai di Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata polis menerima panggilan pada 3.53 petang semalam daripada orang awam mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 48 tahun diserang tiga lelaki menggunakan parang dan dikejarkan ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Chua meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu, termasuk maklumat pergerakan individu atau kenderaan mencurigakan di sekitar lokasi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-6299222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.