Belanjawan 2027: Fokus simpanan persaraan M40, kata persatuan

Hasrat kerajaan mengutamakan inisiatif mengurangkan beban M40 dalam Belanjawan 2027 perlu ditumpukan kepada usaha mengukuhkan simpanan persaraan, menurut Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata).
Timbalan Presiden, Fairuz Abdul Razak, berkata pelepasan cukai sedia ada tidak lagi memadai memandangkan peningkatan kos sara hidup, perumahan, dan pendidikan terus menghakis baki wang yang boleh disimpan golongan berkenaan.
Katanya, jurang simpanan persaraan M40 kini merupakan realiti berangka yang berasaskan paras simpanan mencukupi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM650,000 menjelang usia 60 tahun.
“Namun, hanya sekitar 36% ahli aktif formal memenuhi paras simpanan asas mengikut umur, sekali gus menandakan keperluan tindakan dasar lebih tegas.
“Pelepasan cukai hanya memberi manfaat selepas seseorang membelanjakan atau menyimpan wang terlebih dahulu. Jika aliran tunai sudah ketat, insentif sedemikian tidak semestinya mendorong mereka menyimpan lebih banyak,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa yang berkata Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada semua golongan, termasuk beberapa inisiatif mengurangkan beban M40.
Fairuz menggesa kerajaan memperkenalkan insentif padanan simpanan persaraan sektor formal seperti skim i-Saraan, selain mewujudkan pelepasan khas tambahan secara progresif buat M40.
Beliau turut mencadangkan mekanisme ‘simpan dulu, cukaikan kemudian’ bagi memberi layanan cukai lebih baik kepada pendapatan yang dimasukkan terus ke akaun persaraan jangka panjang.
“Misalnya, Singapura menetapkan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) gabungan sehingga 37% serta Australia melalui caruman persaraan wajib sebanyak 12% oleh majikan. Langkah ini menyerlahkan pendekatan yang memberi fokus kepada caruman terus berbanding pelepasan cukai selepas fakta,” katanya.
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School menyokong penambahbaikan sokongan kepada M40, namun menegaskan sebarang perubahan pelepasan cukai perlu dilaksanakan secara tersasar dan diimbangi penjimatan hasil pelaksaan subsidi bersasar.
Katanya, ia mampu memberikan suntikan positif kepada ekonomi tempatan menerusi peningkatan perbelanjaan isi rumah, yang berputar semula ke dalam pasaran tempatan melalui sektor runcit, perkhidmatan, dan pelancongan domestik.
“Jika kerajaan mahu meningkatkan pelepasan cukai kepada M40, ia perlu disertai penjimatan daripada pengurusan subsidi bersasar untuk mengelakkan penambahan defisit fiskal negara,” katanya.
Di pihak pengguna, pekerja swasta Soh Kien Ching, 34, turut menggesa kerajaan menyemak semula kadar pelepasan cukai individu asas RM9,000 yang tidak berubah sejak 2010.
“Kerajaan asyik meneliti dan menaikkan kadar gaji minimum, tetapi pelepasan asas cukai sudah begitu lama kekal pada kadar sama berdepan inflasi harian.
“Bantuan ‘one-off’ tidak memadai, apa yang kami perlukan adalah langkah berkesan yang mampu mengurangkan beban kewangan bulanan secara berterusan,” kata bapa dua anak itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.