Malaysia Airlines sambung penerbangan ke Jeddah, Madinah esok

Malaysia Airlines akan menyambung semula operasi penerbangan berjadual dari dan ke Jeddah serta Madinah berkuat kuasa esok susulan semakan menyeluruh keselamatan dan penilaian risiko operasi.
Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan penumpang yang menuju ke atau dari dua destinasi berkenaan dinasihat membuat semakan jadual penerbangan dan memastikan butiran perhubungan dikemas kini melalui ciri ‘My Booking’ di laman web atau aplikasi mudah alih.
“Penumpang yang membuat tempahan melalui platform pihak ketiga atau ejen pelancongan dinasihat menghubungi penyedia tempahan masing-masing secara langsung tentang pengaturan perjalanan mereka,” menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan.
Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menggunakan ciri ‘Live Chat’ di laman web atau menghubungi Pusat Hubungan Global menerusi 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (antarabangsa).
Syarikat penerbangan itu juga berterima kasih kepada penumpang atas kesabaran dan pemahaman mereka sepanjang tempoh penggantungan penerbangan ke dua destinasi berkenaan.
Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan di rantau ini dengan teliti, serta sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan anak kapal.
Sebelum ini, Malaysia Airlines membatalkan semua penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan Jeddah serta Madinah mulai 12 Okt hingga 17 Okt susulan beberapa siri serangan terhadap lapangan terbang di Arab Saudi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.