Kerjasama Bersatu Selangor-PH dedah kecenderungan lama pemimpin, kata Kiandee

Naib Presiden Bersatu yang digantung, Ronald Kiandee, berkata beliau tidak terkejut dengan rancangan partinya untuk memeterai kerjasama dengan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Beluran itu mendakwa kepimpinan Bersatu ketika ini sudah lama mahu menjalinkan hubungan dengan PH, sambil menambah langkah untuk merundingkan kerjasama di Selangor hanya menjelaskan lagi niat mereka.
Kiandee berkata kepimpinan parti mungkin sebelum ini tidak begitu berterus terang mengenai hasrat itu disebabkan tentangan dalaman daripada tokoh seperti dirinya.
“Mungkin itu memang niat mereka selama ini dan sekarang barulah perkara itu terserlah. Hakikatnya, ada antara kami di sini yang tidak disenangi mereka kerana perbezaan pendirian politik.
“Jadi, sekarang jelas bahawa selama ini mereka memang mahu menjalinkan hubungan dengan PH,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2027 semalam.
Kiandee berkata kerjasama itu berkemungkinan sudah dirancang sejak sekian lama dan bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu, seperti Azmin Ali, Hilman Idham dan Dr Afif Bahardin, mungkin memainkan peranan dalam usaha itu.
Pada Khamis, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Adun Bersatu akan memeterai kerjasama dengan kerajaan negeri sebelum Belanjawan Selangor dibentangkan, dengan terma-termanya kini sedang dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara PH dan Barisan Nasional (BN), rakan penting dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor, semakin memuncak.
Bersatu turut berselisih faham dengan PAS, yang kini mempengerusikan gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi, dengan 32 wakil daripada Pakatan Harapan, diikuti Bersatu (11), PAS (10), Barisan Nasional (2) dan seorang wakil bebas.
Imej PAS terjejas akibat perselisihan Bersatu
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang daripada PAS Awang Hashim memperkecilkan ketegangan antara BN dengan PH serta rancangan kerjasama PH-Bersatu, dengan berkata dalam politik, rakan boleh menjadi lawan dan begitu juga sebaliknya.

Beliau menambah bahawa kemungkinan kerjasama Bersatu dengan PH di Selangor merupakan keputusan yang dibuat oleh parti itu sendiri, meskipun Bersatu masih menjadi komponen PN.
“Ini perkara biasa. Dalam politik, kawan boleh menjadi musuh dan esok, musuh pula boleh menjadi kawan. Itulah lumrah politik.
“Tidak mengejutkan jika Bersatu bekerjasama dengan PH di Selangor. Itu hak mereka kerana mereka kini memutuskan untuk tidak bersama PN,” kata Ahli Parlimen dua penggal itu.
Awang menegaskan PAS tidak menjangkakan perselisihan dalam Bersatu akan berlaku dan parti itu secara aktif mengelak daripada terheret dalam kemelut dalaman rakan gabungannya.
“Apa sahaja yang berlaku, imej rakan-rakan lain dalam gabungan itu turut akan terjejas.
“Ini masalah dalaman kamu (Bersatu), tetapi kami tidak dapat mengelak daripada menerima kesannya.”
Perselisihan dalaman Bersatu berpunca daripada perebutan kepimpinan yang sengit antara Presiden parti, Muhyiddin Yassin, dengan timbalannya ketika itu, Hamzah Zainudin, yang berakhir dengan pemecatan Hamzah pada Februari.
Hamzah, yang merupakan ketua pembangkang, kini mengetuai Wawasan, yang turut dianggotai beberapa bekas Ahli Parlimen dan Adun Bersatu.
“Kami tidak campur tangan, tetapi kami turut terheret dalam keadaan ini dan terpaksa membuat keputusan sendiri,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.