Mahkamah tolak permohonan bicara tertutup dalam saman sivil kes bunuh Bandar Utama

Mahkamah Tinggi menolak permohonan seorang remaja lelaki supaya saman sivil terhadapnya berhubung kes tikam maut seorang pelajar perempuan di sekolahnya dibicarakan sepenuhnya secara tertutup.
Hakim P Anand berkata tiada asas untuk membenarkan permohonan itu yang akan menghalang orang ramai dan media daripada mengikuti keseluruhan prosiding.
“Identiti kanak-kanak itu, yang dikenali sebagai L, boleh dilindungi tanpa mengambil langkah sedrastik itu,” katanya.
Anand berkata banyak kes membabitkan kanak-kanak dibicarakan dengan perintah mahkamah untuk melindungi identiti mereka, sementara media masih dibenarkan membuat laporan tertakluk kepada sekatan tertentu.
“Memandangkan sifat kes ini dan keperluan melindungi L, saya berpendapat satu keseimbangan perlu dicapai.
“Walaupun kanak-kanak itu perlu dilindungi, saya tidak melihat sebab untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap laporan media. Orang ramai juga mempunyai kepentingan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam prosiding ini dan keputusan mahkamah,” katanya.
Anand berkata peguam remaja itu boleh memohon supaya saksi tertentu memberi keterangan secara tertutup pada peringkat kemudian sekiranya keterangan mereka berisiko mendedahkan identitinya.
“Untuk penjelasan, hanya bahagian keterangan yang berkenaan akan didengar secara tertutup selepas permohonan sewajarnya dibuat.
“Pada pandangan mahkamah, perintah ini mencukupi untuk melindungi identiti L,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan semua dokumen yang difailkan dalam kes itu ditutup daripada akses orang ramai.
Saman itu difailkan keluarga Yap Shing Xuen, 16, yang maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu.
Keluarga Yap menamakan beberapa agensi kerajaan sebagai defendan atas alasan agensi terbabit mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang untuk mengambil langkah sewajarnya menangani masalah kesihatan mental di sekolah.
Mereka turut menamakan L dan ibu bapanya sebagai defendan, dengan mendakwa terdapat tanda amaran yang jelas sebelum kejadian serta ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mereka tidak membahayakan orang lain.
A Surendra mewakili keluarga Yap, Nicholas Poon mewakili remaja itu, manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili agensi kerajaan. Abraham Au pula mewakili ibu bapa remaja berkenaan.
Pada 14 Sept, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh Yap selepas memutuskan dia tidak sempurna akal ketika kejadian.
Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan.
Pada 24 Sept, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa notis rayuan telah difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Remaja berkenaan sebelum ini didakwa menikam mati pelajar Tingkatan Empat itu di tandas perempuan sekolah mereka pada 14 Okt tahun lalu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.