Kritikan Pejuang isu dana RM50 juta Najib tak jejas kerjasama Umno-PAS

Kritikan pemimpin Pejuang terhadap tindakan Umno mengumpul RM50 juta bagi membantu pembayaran denda Najib Razak tidak akan menjejaskan kerjasama politik Umno dan PAS, kata penganalisis.
Mereka berpandangan, kenyataan Pemangku Ketua Pemuda Pejuang, Akmal Yusoff lebih bersifat pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata perbandingan antara kutipan dana untuk Najib dengan sumbangan kepada mangsa banjir tidak wajar dibuat tanpa bukti bahawa penderma tabung solidariti itu sepatutnya menyalurkan wang berkenaan kepada mangsa bencana.
Katanya, kritikan terhadap kutipan RM50 juta itu kebanyakannya disuarakan pihak yang menentang Umno dan Najib.

Sebaliknya, Azmi melihat isu Najib berpotensi mengeratkan lagi hubungan Umno dan PAS, terutama apabila kedua-dua parti dilihat mempunyai pandangan hampir sama berhubung tindakan Jabatan Peguam Negara dalam kes bekas perdana menteri itu.
Menurutnya, persamaan pendirian dan strategi kedua-dua parti dalam isu berkenaan lebih berpotensi mengukuhkan kerjasama mereka berbanding menjejaskannya.
“Kerjasama itu antara Umno dengan PAS. Walaupun PAS mewakili PN, kerjasama itu hanyalah antara Umno dan PAS. Tiada kena-mengena dengan Pejuang, Gerakan, MIPP malah Wawasan.
“Jadi, ia tidak memberi kesan kepada kerjasama Umno dan PAS, terutama di Melaka,” katanya kepada FMT.
Azmi mengulas kenyataan Akmal yang mempersoalkan keutamaan perjuangan politik selepas Umno berjaya mengumpul RM50 juta menerusi tabung solidariti bagi membantu pembayaran denda Najib dalam tempoh kurang dua bulan.
Akmal berkata, kejayaan kempen kutipan dana itu wajar diiktiraf, namun pendekatan sama sepatutnya turut dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan, khususnya ketika berdepan kesusahan akibat banjir.
Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata kenyataan Akmal lebih mencerminkan pandangan peribadinya sebagai pemimpin muda dan bukan pendirian rasmi Pejuang.

Beliau berkata, pandangan itu mungkin turut mencerminkan sentimen sebahagian golongan muda yang mempersoalkan keutamaan parti politik ketika rakyat berdepan kesusahan.
Bagaimanapun, katanya, Akmal bukan pemimpin utama yang mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju parti atau hubungan politik Pejuang dengan Umno.
“Saya merasakan pemimpin Pejuang tidak akan memberi respons dan Umno juga tidak akan mengambil kisah kerana bukan semua mempunyai pendirian sama,” katanya.

Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, pandangan individu dalam parti tidak akan mengubah kerjasama politik selagi ia bukan keputusan atau pendirian rasmi kepimpinan.
Katanya, pemimpin politik kini lebih matang dalam membezakan pandangan peribadi dengan keputusan parti untuk menjalinkan kerjasama.
“Jadi, bagi saya, ia tidak akan memberi kesan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.