Malaysia sasar jadi hab logistik bertaraf dunia, kata Anwar

Kerajaan mahu menjadikan Malaysia hab logistik bertaraf dunia dengan meningkatkan nilai tambah aktiviti perdagangan, bukan sekadar mengendalikan jumlah kargo melalui pelabuhan, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata, pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) Daiso di Pulau Indah, yang terbesar dalam sejarah syarikat itu, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan kemudahan infrastruktur negara.
“Langkah seterusnya ialah membina kekuatan itu dengan menangkap lebih banyak ‘nilai’ yang mengalir melalui pelabuhan kita, bukan sekadar ‘jumlah’,” katanya ketika berucap merasmikan pusat pengedaran itu di sini.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan akan membolehkan barangan disusun, disimpan dan dibungkus semula di Pulau Indah, sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.
“Ia membawa teknologi logistik dan kepakaran baharu ke dalam negara, selain membawa masuk kargo ke pelabuhan kita untuk dikendalikan di sini, bukannya sekadar melalui negara ini.
“Ia juga membina keupayaan tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan muda kita.”
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata GDC seluas hampir 550,000 kaki persegi itu dapat mengendalikan lebih 4,600 kontena keluar setiap tahun bagi membekalkan barangan ke 27 negara dan wilayah.
“Keputusan Daiso membina hab logistik terbesar dalam sejarah syarikat itu di Pulau Indah membawa kepentingan yang besar. Ia menghantar isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia ialah pilihan hab rantaian bekalan dan logistik serantau.”
Jelasnya, lokasi GDC yang berhampiran Pelabuhan Klang itu membolehkan pengangkutan laut, jalan raya dan gudang automatik dihubungkan dalam satu sistem pengendalian kargo lebih cekap.
“Kementerian Pengangkutan akan terus memperkemas proses pelepasan kargo di pelabuhan, memperluas hubungan rel dan jalan raya serta mempercepat pendigitalan dokumen perdagangan.”
Pada Oktober 2023, Daiso mengumumkan pelaburan RM1 bilion untuk membangunkan GDC di Pelabuhan Klang, yang dirancang menjadi hab antarabangsa kedua syarikat itu selepas China. Ketika diumumkan, pusat berkenaan dirancang membekalkan produk Daiso ke 22 negara dan wilayah di Asia serta Timur Tengah.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.