Perundingan penting elak autoritarian, kepentingan peribadi, kata Saifuddin

Amalan perundingan yang bermakna penting bagi mengelakkan keputusan dikuasai subjektiviti dan kepentingan peribadi serta mencegah kecenderungan autoritarian, kata Setiausaha Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan) Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, penggunaan pendekatan ‘perundingan’ atau ‘libat urus’ semakin meluas, namun konsep berkenaan ada kalanya disalah tafsir dan pelaksanaannya masih boleh ditambah baik.
Menurut bekas menteri itu, perundingan atau syura bukan sekadar mendapatkan maklum balas, tetapi turut membabitkan proses mengumpul pandangan dan pendirian sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Jelaslah bahawa tuntutan mengadakan syura amatlah tinggi… Ia prinsip asas dalam kepimpinan dan berkerajaan,” tulisnya dalam ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.
Saifuddin berkata, konsep itu mempunyai peranan luas dalam Islam dan tidak terhad kepada urusan politik atau pentadbiran, sebaliknya turut digunakan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
Beliau berkata, sejarah Islam juga menunjukkan perundingan diamalkan dalam membuat pelbagai keputusan, termasuk berkaitan pentadbiran dan urusan kemasyarakatan.
Saifuddin menyenaraikan beberapa manfaat syura, antaranya membantu menghasilkan keputusan yang betul atau paling tepat serta mengelakkan ‘tirani subjektiviti dan kepentingan peribadi’.
Katanya, pendekatan itu juga berfungsi untuk ‘mencegah autoritarian dan kezaliman’, di samping memastikan hak setiap pihak diberikan.
Menurutnya, perundingan yang dilaksanakan dengan baik turut membantu mewujudkan ruang yang menggalakkan kebebasan serta penyertaan dalam proses membuat keputusan.
“Menyuburkan suasana kebebasan dan inisiatif,” katanya ketika menyenaraikan antara manfaat perundingan.
Saifuddin turut berkata, proses itu boleh meningkatkan keupayaan berfikir dan merancang serta membina kesediaan untuk bertindak dan memberikan sokongan terhadap keputusan yang dibuat.
Selain itu, katanya, perundingan dapat mengeratkan hubungan antara pihak yang terlibat dan membantu membentuk rasa tanggungjawab bersama terhadap sesuatu keputusan.
“Ia dapat meningkatkan kerjasama dan perpaduan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.