Kontroversi tajaan RM3 juta TFC masuk fasa baharu

Pertikaian tajaan RM3 juta Terengganu FC (TFC) memasuki fasa baharu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membenarkan tuntutan terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa mengatur penajaan proksi diteruskan ke peringkat perbicaraan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Yusrin Faidz Yusoff, menolak permohonan Suffian Muda untuk mengetepikan notis pihak ketiga yang dikeluarkan terhadapnya oleh Vearich International Sdn Bhd, yang bersetuju menaja TFC bagi musim 2024/2025.
Prosiding pihak ketiga membolehkan defendan membawa individu atau entiti lain ke dalam saman sedia ada untuk menentukan tuntutan atau liabiliti berkaitan.
Vearich memeterai perjanjian tajaan dengan TFC pada 1 April 2024, dengan komitmen untuk membayar RM3 juta dalam lima ansuran. Sebagai balasan, syarikat itu dijanjikan pelbagai manfaat penjenamaan dan komersial, termasuk logo tertera pada jersi perlawanan TFC, pendedahan pengiklanan serta hak promosi membabitkan pemain kelab berkenaan.
Bagaimanapun, Vearich didakwa gagal membuat bayaran pertama berjumlah RM1 juta dan memaklumkan penarikan diri daripada penajaan itu.
Dalam pembelaannya, Vearich mendakwa ia tidak pernah benar-benar berniat menaja TFC dan diperdaya untuk menandatangani perjanjian itu susulan dakwaan salah nyata membabitkan Suffian dan ahli perniagaan, Danial Malik Fisol, yang juga dikenali Danial atau ScaleX.
Vearich mendakwa ia hanya bertindak sebagai penaja proksi, manakala Danial sepatutnya menjadi pihak sebenar menyediakan dana tajaan itu.
Suffian menafikan dakwaan itu dengan berhujah, beliau bukan pihak dalam perjanjian tajaan berkenaan dan tiada asas undang-undang untuk menjadikannya bertanggungjawab terhadap obligasi kontrak Vearich.
Bagaimanapun, hakim berkata, ketiadaan hubungan kontrak secara langsung tidak secara automatik menggugurkan tuntutan ganti rugi.
“Hak untuk mendapat indemniti tidak terhad kepada kes berasaskan kontrak semata-mata. ia boleh timbul daripada kewajipan yang ditetapkan undang-undang, prinsip ekuiti atau hubungan antara pihak-pihak terlibat.”
Hakim turut mendapati Vearich telah mengemukakan isu fakta mencukupi untuk kes itu dibicarakan, termasuk dakwaan peranan Suffian dalam memudah cara rundingan serta memperkenalkan Danial sebagai pihak yang akan menyediakan dana berkenaan.
Sambil menekankan batasan dalam prosiding interlokutori, beliau berkata: “Pada peringkat ini, mahkamah tidak patut menilai kredibiliti saksi pemohon atau defendan.”
Beliau berkata kewujudan fakta yang dipertikaikan menyebabkan perkara itu tidak sesuai diputuskan tanpa melalui perbicaraan.
Mahkamah memerintahkan Suffian membayar kos RM3,000 kepada Vearich.
Keputusan itu tidak bermakna mahkamah telah mengesahkan berlakunya penipuan atau salah nyata, atau menentukan sama ada Vearich bertanggungjawab membayar tajaan kepada TFC. Semua perkara itu masih perlu diputuskan dalam perbicaraan.
Hazri Haris mewakili TFC, manakala Batrisyia Aida Radzali dan Radzi Pauze mewakili Vearich. Syed Yusuf Syed Zaid serta Abdul Jalil Salam Muhamad mewakili Suffian.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.