Hassan Karim disiasat Akta Hasutan susulan sajak ‘Patik Tak Rela’

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk disiasat berhubung sajak bertajuk ‘Patik Tak Rela’ di Facebook miliknya, semalam.
Hassan dijadualkan hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, 3 petang ini.
“Saya akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Sajak berjudul ‘Patik Tak Rela’ karya Karim antara lain menyentuh persoalan keadilan, keberanian menyanggah ketidakadilan serta kepentingan menegakkan undang-undang tanpa mengira darjat dan kedudukan.
Sajak itu dipercayai merujuk kes Najib Razak yang dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam sajak itu, Hassan menggunakan ungkapan ‘Ampun Tuanku’ ketika mengemukakan persoalan sama ada tindakan seseorang rakyat menyuarakan kebenaran dan menentang ketidakadilan boleh dianggap sebagai penderhakaan.
Beliau turut menulis mengenai sikap berdiam diri ketika berdepan ketidakadilan, termasuk persoalan sama ada tindakan memejamkan mata dan membisukan suara bermaksud merelakan keadaan itu berterusan.
Sajak itu diakhiri dengan rangkap, ‘Patik tak rela, negara ini jatuh ke longkang sehina begini.’
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.