Parti Semenanjung diingat jangan ‘batu api’ kehadiran Fadillah di Melaka

Parti politik Semenanjung diingatkan tidak mempolitikkan kehadiran Fadillah Yusof di Melaka ketika tempoh kempen PRN sebagai modal politik menjaja naratif kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini kerana kata penganalisis, tindakan itu berisiko mengundang kemarahan pengundi Sarawak.
Felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan, berkata parti Semenanjung kecuali DAP, umumnya tidak mempunyai pengaruh dalam politik Sarawak, justeru cubaan laskar siber membangkitkan isu itu boleh memakan diri.
Katanya, GPS tidak mempunyai hubungan rapat dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), malah pernah meninggalkan BN selepas kekalahan gabungan itu dalam PRU14 pada 2018.

“Rakyat Sarawak sering kata ‘jangan datang ke sini’ kepada parti Semenanjung. Apabila pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dilihat ‘menyibuk’ di sana, ia memperlihatkan sikap hipokrit,” katanya kepada FMT.
Jayum berkata, tindakan GPS meninggalkan BN selepas sebelum ini berikrar untuk bersama parti itu menunjukkan ia sentiasa mengutamakan kepentingan Sarawak.
Bagaimanapun, penganalisis daripada Universiti Tasmania, James Chin, berpendapat kehadiran Fadillah tidak wajar dijadikan isu politik kerana beliau ke sana atas kapasiti rasmi kementeriannya.

Katanya, timbalan perdana menteri itu terus pulang selepas menghadiri program berkenaan dan tidak menyertai sebarang aktiviti kempen.
“Saya tidak fikir sesiapa akan mengambil serius isu ini. Beliau hadir untuk program rasmi kementerian dan tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kempen. Jadi, ia memang bukan isu,” katanya.
Chin turut berkata, GPS mempunyai dasar jelas untuk tidak campur tangan dalam politik Semenanjung seperti ditunjukkan ketika PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau yakin Fadillah, yang mewakili PBB selaku parti teras GPS, akan berhati-hati dan tidak melanggar dasar berkenaan.
Sebelum ini, kehadiran Fadillah ke Melaka mencetuskan pertikaian selepas dikaitkan dengan perkembangan politik dan kempen PRN negeri itu.
Bagaimanapun, penjelasan kemudian menegaskan beliau berada di Melaka bagi menyempurnakan Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) di Alor Gajah.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, atas kapasiti rasmi pentadbiran negeri dan jemputan penganjur tanpa kaitan dengan pilihan raya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.