Semangat Persekutuan perlu diterjemah lebih adil, kata Hamzah

Semangat Persekutuan perlu diterjemahkan secara lebih adil bagi memastikan pembangunan dan peluang ekonomi dinikmati secara seimbang antara negeri serta wilayah, kata Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin.
Dalam perutusan sempena Hari Malaysia, Hamzah berkata kemajuan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya mesti memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.
“Kita mahu Malaysia yang lebih bersatu padu, Malaysia yang lebih makmur dan Malaysia yang lebih berjaya.
“Sebuah negara yang tidak hanya mengejar angka pertumbuhan, tetapi memastikan kemajuan itu benar-benar dirasai rakyat dengan memastikan semangat Persekutuan diterjemahkan dengan lebih adil,” katanya.
Beliau yang juga ketua pembangkang berkata pendekatan itu perlu disertai pembangunan lebih seimbang antara negeri dan wilayah, peluang ekonomi lebih luas serta sikap lebih prihatin terhadap keperluan rakyat.
Hamzah turut mengemukakan gagasan ‘RESET Malaysia’, yang menurutnya bukan bermaksud menolak segala yang telah dibina, tetapi memperbaiki perkara tidak lagi berkesan, menghentikan perkara merugikan dan membina semula perkara diperlukan untuk masa depan.
Menurutnya, meskipun rakyat berbeza kaum, agama, negeri dan pandangan politik, mereka perlu mempunyai titik temu mengenai bentuk Malaysia yang mahu dibina dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau menggariskan tiga perkara sebagai asas kepada usaha itu, iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan.
Hamzah berkata matlamat bersama perlu memastikan keharmonian negara berkekalan, patriotisme dan kedaulatan terjamin, ekonomi kukuh serta Malaysia terus dihormati dunia.
Bagi kemakmuran bersama pula, beliau mahu manfaat ekonomi sampai ke seluruh negara menerusi lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah dan kehidupan lebih bermaruah untuk rakyat.
Beliau turut menegaskan kuasa kerajaan mesti digunakan untuk berkhidmat, bukan sekadar memerintah, manakala setiap dasar perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat.
“Rumah yang perlu sentiasa dipelihara, dibaiki dan diperkukuhkan. Masa depan rumah ini tanggungjawab kita bersama,” katanya merujuk Malaysia sebagai rumah bersama rakyat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.