9 ditahan dalam siasatan kes bunuh remaja

Sembilan individu ditahan dalam siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun, yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di Sibu, Sarawak.
Ketua Polis Sibu, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek yang berusia antara 16 hingga 42 tahun ditahan hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah, lapor Berita Harian.
Seorang remaja dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam pada bahagian dada dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam.
Mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Polis menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu, pada kira-kira 2 pagi tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.