Kerajaan digesa tubuh panel bebas tangani aduan perniagaan berkait TH

Kerajaan digesa menubuhkan sebuah panel bebas bagi menyiasat aduan syarikat terjejas akibat usaha sama bermasalah yang dikaitkan dengan Tabung Haji (TH), selain meneroka saluran untuk mendapatkan tebus rugi.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, penelitian tidak patut hanya tertumpu kepada kerugian dialami dana jemaah haji itu, sebaliknya perlu merangkumi layanan terhadap rakan kongsi, pembekal dan pemiutangnya.
“Cadangan saya mudah: wujudkan proses penyerahan bukti secara sulit dengan had masa, lindungi pengadu mempunyai asas kukuh daripada sebarang tindakan balas dan umum dapatan panel tanpa menjejaskan prosiding undang-undang sedang berjalan,” katanya kepada FMT.
Beliau mencadangkan sebuah panel ditubuhkan, sebaik-baiknya di bawah pengawasan Parlimen, yang dianggotai pakar dalam bidang perakaunan forensik, undang-undang korporat, insolvensi dan tadbir urus sektor awam.
“Jika institusi awam dipertanggungjawabkan untuk melindungi simpanan rakyat, ia juga perlu bertanggungjawab terhadap cara penggunaan kuasa dalam urusan perniagaan pihak lain.”
Zaharuddin berkata, semakan itu perlu membezakan kerugian komersial biasa dengan pertikaian kontrak, kegagalan tadbir urus dan kemungkinan berlaku salah laku jenayah.
“Bukan setiap pelaburan gagal merupakan rasuah, tetapi setiap transaksi meragukan juga tidak patut diketepikan sewenang-wenangnya sebagai keputusan perniagaan.”
Gesaan itu susulan pertuduhan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif TH, Johan Abdullah dan bekas ketua pegawai kewangan, Rozaida Omar pada 22 Okt lalu atas dakwaan menggunakan penilaian hartanah yang dilambungkan nilainya secara tidak wajar bagi membolehkan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion pada 2017.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Dalam perkembangan berasingan, FGV pada November 2019 melaporkan jumlah kerugian terkumpul bahagiannya daripada Trurich, usaha sama perladangan 50:50 dengan TH, kira-kira RM234 juta.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi pada Julai 2023 memerintahkan TH Heavy Engineering (THHE) membayar ganti rugi RM288.7 juta kepada Globalmariner Offshore Services (GMOS) kerana melanggar perjanjian pemegang saham mereka.
Pegangan saham TH dalam THHE dipindahkan kepada Urusharta Jamaah pada 2018.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut menyokong penelitian lebih menyeluruh bagi menentukan sama ada usaha sama itu menunjukkan masalah tadbir urus lebih besar, selain mengenal pasti langkah bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Saya berpendapat syarikat terjejas perlu tampil mengemukakan aduan kerana mereka perlu mempunyai keyakinan bahawa setiap aduan akan diberikan pertimbangan adil.”
Jelasnya, pakar luar bebas boleh dipertanggungjawabkan untuk menilai aduan itu, manakala Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga boleh dijadikan saluran bagi penelitian lanjut.
Katanya, akauntabiliti perlu disusuli penyelesaian praktikal sambil memberi amaran kegagalan mengambil tindakan susulan secara berkesan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem sedia ada.
Zaharuddin mencadangkan audit bebas terhadap penghakiman belum selesai dan tuntutan komersial disahkan, di samping mewujudkan proses telus untuk mengenal pasti aset boleh diperoleh semula.
Beliau turut menyarankan satu mekanisme dengan had masa diwujudkan bagi menyelesaikan tuntutan sah melalui tindakan penguatkuasaan, penstrukturan semula atau penyelesaian secara rundingan.
“Pampasan perlu berasaskan liabiliti undang-undang yang telah dibuktikan, bukannya tekanan politik.
“Kejayaan dalam memastikan akauntabiliti tidak patut diukur berdasarkan jumlah bekas eksekutif disiasat, sebaliknya sejauh mana kebenaran dapat didedahkan, jumlah wang diperoleh semula secara sah serta bilangan tuntutan sah diselesaikan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.