GPS umum calon PRN Sarawak 25 Nov ini

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh semua 82 calon yang bakal bertanding pada PRN Sarawak ke-13 pada 25 Nov ini, kata Pengerusinya Abang Johari Openg.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut membayangkan kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon parti itu bagi memberi peluang kepada gabungan pemimpin muda dan berpengalaman.
“Sudah tentu ada kemungkinan pertukaran… kita (GPS) mempunyai yang muda dan yang berpengalaman sebagai calon-calon yang akan diketengahkan.
“Kita akan kongsikan pada 25 Nov ini. Semua 82 calon, tunggulah kelak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvensyen Parti PBB Zon Selatan.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari menyeru anggota PBB yang tidak dicalonkan dalam PRN kali ini untuk terus memberi sokongan kepada mana-mana calon dipilih.
Beliau berkata semangat dan budaya saling memberikan sokongan menjadi asas kejayaan PBB yang merupakan parti tunjang dalam GPS.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan memberi bayangan bahawa lapan penyandang kerusi DUN daripada GPS berkemungkinan dikekalkan sebagai calon, membabitkan empat wakil PBB iaitu Fazzrudin Abdul Rahman, Ibrahim Baki, Hamzah Brahim dan Martin Ben.
Empat lagi penyandang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Dr Sim Kui Hian, Lo Khere Chiang, Wilfred Yap Yau Sin dan Ding Kuong Hiing.
GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Dis dan hari mengundi pada 12 Dis.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.