Tak wajar dipolitikkan, ketua penerangan Bersatu ulas PN digantung

Aduan dikemukakan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sehingga membawa kepada penggantungan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dipolitikkan.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz, berkata partinya membangkitkan aduan antaranya rundingan dengan pihak luar yang berlaku tanpa pengetahuan anggota PN, perlanggaran perkara dasar yang membelakangi parti anggota PN, dan penafian hak Bersatu sebagai anggota PN.
Katanya, selain itu turut dipersoalkan adalah tadbir urus PN yang tidak dibuat berdasarkan perlembagaannya sendiri, ketelusan, dan prinsip keadilan serta pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap keputusan dibuat secara musyawarah dalam Majlis Tertinggi (MT).
Katanya, keputusan JPPM menggantung semua kegiatan PN tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya ruang perlu diberikan supaya proses undang-undang berjalan dan semua pihak menghormati keputusan pihak berkuasa serta mahkamah.
“Apa yang kita mahukan supaya aturan yang dipersetujui bersama dihormati dan dipatuhi semua pihak, dan tidak ada mana-mana pihak yang bertindak di luar perlembagaan PN, Akta Pertubuhan atau keputusan MT PN.
“Mengenai dakwaan tindakan terhadap PN itu berniat jahat dan berunsur tekanan politik, saya tidak pasti ia ditujukan kepada siapa, jadi saya tidak boleh membuat andaian,” katanya kepada Harian Metro.
Awal hari ini, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mendakwa tindakan JPPM menggantung gabungan itu mungkin berniat jahat dan satu bentuk tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak dalam dan luar PN.
Katanya, PN sedang mengambil langkah segera menerusi undang-undang berkait tindakan penggantungan tersebut.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.