Rusuhan Penjara Taiping, keluarga rayu dapatkan rakaman CCTV

Keluarga banduan yang meninggal dunia susulan rusuhan di Penjara Taiping tahun lalu memfailkan rayuan dalam usaha mendapatkan rakaman CCTV berhubung kejadian itu.
Banduan Gan Chin Eng maut selepas rusuhan berkenaan, yang berlaku pada 17 Jan tahun lalu, didakwa menyaksikan hampir 100 banduan diserang 60 pegawai penjara.
Gan sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan pengedaran dadah.
Awal tahun ini, inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai rusuhan tersebut mengesyorkan pengawasan lebih ketat terhadap penjara, selain menyeru penutupan Penjara Taiping atas alasan keadaannya yang semakin uzur.
Peguam Shashi Devan, yang mewakili anak lelaki mendiang, Gan Thean Soo, berkata pihak keluarga telah memfailkan rayuan terhadap keputusan dikeluarkan pada 6 Ogos, yang menolak permohonan mereka mendapatkan akses rakaman terbabit.
Kes berkenaan kini dalam prosiding di Mahkamah Rayuan.
Shashi berkata, rakaman tersebut diperlukan bagi saman yang mahu difailkan oleh keluarga terbabit terhadap pihak berkuasa, sambil mendakwa wujudnya kecuaian dan pelanggaran kewajipan berkanun.
Kerajaan dan pihak Penjara Taiping berhujah, rakaman asal berkenaan berada dalam simpanan pihak polis sebagai sebahagian siasatan yang sedang dijalankan mengenai rusuhan tersebut.
Mereka turut menyatakan kebimbangan pihak keluarga mungkin memuat naik atau mendedahkan kandungan rakaman itu kepada umum.
Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Syed Faisal Syed Amir, berkata mahkamah menerima hujah defendan bahawa rakaman CCTV tersebut tidak lagi berada dalam pemilikan mereka.
Mahkamah juga memutuskan sebarang pendedahan kepada umum akan menjejaskan kes mahkamah yang sedang berlangsung terhadap beberapa pegawai penjara.
Katanya, rakaman CCTV tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pegawai penjara, Ryndee O’Nel Victor, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan hingga menyebabkan kematian tanpa niat membunuh melibatkan kematian Gan, tahun lalu.
Dalam pada itu, lima pegawai — Mohd Hairie Jumri, Saiful Azman Ibrahim, Ahmad Rizal Razali, Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, dan Nor Hafiz Izwan Jajam — dituduh mencederakan tiga banduan, pada 17 Jan 2025.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.