TuJu tetap perlu audit ketat walaupun aplikasi tempatan, kata pakar

Penggunaan aplikasi tempatan seperti TuJu sebagai alternatif kepada Waze perlu disusuli audit keselamatan secara berkala bagi memastikan data pengguna, termasuk maklumat sensitif kerajaan, terus dilindungi, kata pakar keselamatan siber.

Pengasas dan CEO LGMS Bhd, Fong Choong Fook, berkata tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada negara asal sesebuah aplikasi, sebaliknya bagaimana pengendalinya mengurus dan melindungi data yang dikumpul.
“Sama ada aplikasi luar atau aplikasi buatan tempatan, isu paling utama adalah bagaimana pengendalinya melindungi data yang dikumpul.
“Operator tempatan perlu melalui proses pengetatan dan pemeriksaan keselamatan yang betul bagi menjamin ketahanan sistem mereka,” katanya kepada FMT.
Fong berkata, audit ketat amat penting bagi mengelakkan maklumat seperti lokasi dan pergerakan penjawat awam yang menjalankan tugas sensitif terdedah atau jatuh ke tangan pihak ketiga.
Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze bagi tugas rasmi sebagai langkah yang boleh diterima atas faktor keselamatan negara, khususnya membabitkan pegawai yang mengendalikan misi berprofil tinggi atau maklumat terperingkat.
Gesaan supaya sistem tempatan terus diperkukuh timbul ketika aplikasi TuJu mengalami gangguan fungsi navigasi susulan peningkatan ketara jumlah pengguna.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelaskan aplikasi itu sedang melalui proses penambahbaikan sistem bagi menampung peningkatan berkenaan dan memberikan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pengguna.
Pejabat Perdana Menteri dalam penjelasannya berkata, larangan penjawat awam menggunakan Waze dibuat bagi mengelakkan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna disalahgunakan Israel.
Keputusan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi melindungi maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat daripada ancaman keselamatan.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh, berkata aspek keselamatan dan kerahsiaan pergerakan anggota penguat kuasa perlu sentiasa diberi keutamaan dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.
Beliau mencadangkan aplikasi alternatif yang digunakan kerajaan dilengkapi ciri keselamatan tambahan, termasuk integrasi dengan sistem CCTV kerajaan di jalan persekutuan dan lebuh raya bagi membantu operasi penguatkuasaan.
“Integrasi ini berpotensi membantu penyampaian maklumat trafik dan keadaan jalan raya secara lebih berkesan, sekali gus menyokong perancangan laluan dan pelaksanaan tugas anggota di lapangan.
“Kerjasama antara kerajaan, agensi keselamatan dan pihak berkepakaran teknologi amat penting bagi memastikan penyelesaian yang dibangunkan benar-benar selamat,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, pula menyifatkan larangan penggunaan Waze sebagai arahan yang perlu dipatuhi semua penjawat awam, selain melihatnya peluang kepada pembangun tempatan meningkatkan keupayaan teknologi mereka.
“Langkah ini bukan sahaja menuntut pematuhan, malah menjadi cabaran positif kepada pakar aplikasi tempatan untuk membuktikan keupayaan mereka mencipta teknologi yang lebih selamat dan berdaya saing,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.