Kematian penghantar barang ketika acara gig diklasifikasi kes bunuh

Sepuluh ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang penghantar barang ketika menghadiri persembahan muzik (gig) yang dilaporkan tiada permit di sebuah kafe selepas diklasifikasikan kes bunuh.
Ketua Polis Melaka Tengah, Halim Abas, berkata kejadian Sabtu lalu itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa 21 tahun yang mengalami kecederaan serius di belakang kepala pada 17 Okt lalu disahkan meninggal dunia.
Jelasnya, pada hari kejadian, mangsa yang dilaporkan cedera ketika berada di kafe itu dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.53 petang Rabu lalu,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah 10 individu berusia 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, beliau berkata, acara gig yang diadakan di sebuah kafe di Kampung Jawa itu dilaporkan tidak mempunyai permit polis atau kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran acara itu.”
Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa dikatakan membuat aksi mosh/spinkicik (tendangan berputar) ketika acara muzik berlangsung, namun tersasar dan terjatuh, yang menyebabkan kecederaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.