Sokongan pembiayaan kukuh penting kembangkan sektor bunkering

Industri maritim Malaysia memerlukan sokongan pembiayaan lebih kukuh daripada bank tempatan bagi merealisasikan potensi pelaburan dan membolehkan pemain industri domestik mengembangkan operasi, khususnya dalam sektor pembekalan bahan api kapal (bunkering), kata Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd R Jeyenderan.
Perkhidmatan bunkering merangkumi pembekalan, penyimpanan dan pengurusan logistik bahan api marin, pelincir serta bekalan keperluan bagi kegunaan kapal dan vesel marin.
Jeyenderan berkata ramai pemain industri berminat untuk menceburi sektor itu, namun berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan bank kerana institusi kewangan tempatan menganggap perniagaan berkenaan berisiko tinggi, khususnya bagi pembiayaan pembelian kapal dan aset berkaitan aktiviti bunkering.
Beliau berkata pelabur dari Singapura lazimnya menyalurkan dana menerusi bank di negara itu dan bukannya institusi kewangan Malaysia, sekali gus menyebabkan potensi manfaat ekonomi mengalir ke luar negara.
“Mereka langsung tidak menggunakan khidmat bank kita. Ini memberikan kesan yang amat buruk dan kita tidak boleh menjalankan kegiatan amal di perairan sendiri. Perairan kita sangat indah dan mempunyai aliran trafik kapal yang baik.
“Akibatnya, kita kehilangan banyak sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerana suatu ketika dahulu, jumlah pembekalan kita mencecah kira-kira 600,000 tan sehingga 2013, tetapi kini menurun kepada 200,000 tan,” katanya dalam temu bual selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Industri Maritim: Cabaran Global, Impak Domestik” pada Jumaat.
Mengenai dasar, beliau berkata garis panduan lebih jelas diperlukan, khususnya berkaitan dokumentasi kastam yang meliputi urusan import, eksport dan proses lain berkaitan perkapalan.
Jeyenderan berkata pemain industri sering berdepan kesukaran memahami prosedur serta keperluan dokumentasi berbeza yang ditetapkan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pihak berkuasa pelabuhan dan pengendali pelabuhan.
“Sebagai contoh, kita perlu mengetahui prosedur operasi standard (SOP) yang betul bagi mengemukakan dokumen K1 hingga K9. Prosedur ini perlu disahkan dan dimuat naik ke dalam sistem supaya semua pihak mematuhi keperluan yang sama,” katanya.
Siri K1 hingga K9 merujuk kepada set borang pengisytiharan kastam standard yang ditadbir oleh JKDM di bawah Akta Kastam 1967.
Mengenai sasaran industri maritim Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hingga 2030, Jeyenderan berkata industri itu secara keseluruhannya berada pada landasan yang betul, namun perlu meningkatkan pengurusan serta memastikan bahan buangan yang boleh digunakan sebagai bahan suapan bagi pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) dapat dikekalkan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.