Umno gagal bila kritik kerajaan sendiri, kata pemimpin Amanah

Umno juga sebenarnya gagal jika mengkritik pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim lemah kerana parti itu sebahagian kerajaan, kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Katanya, apa disebut Presiden Zahid Hamidi yang partinya ‘mampu melakukan lebih baik’ ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam, tidak lebih daripada menunjukkan kegagalannya membantu pentadbiran.
“Kalau dia nak kata kerajaan Anwar ini gagal, maksudnya beliau pun gagal membantu itu. Beliau pun gagal sebagai sebahagian kerajaan,” katanya kepada FMT sambil berkata kejayaan pentadbiran Anwar perlu dilihat secara kolektif kerana kerajaan dibentuk melalui gabungan beberapa parti, termasuk Umno.
Beliau berkata, data berkaitan pelaburan langsung asing, prestasi ringgit, pertumbuhan ekonomi dan indeks persepsi rasuah (CPI) menunjukkan pencapaian kerajaan Anwar lebih baik, berbanding pentadbiran terdahulu.
“Boleh cakap apa saja, tetapi data tidak menipu,” katanya dengan menegaskan rakyat boleh membuat penilaian berdasarkan prestasi kerajaan.
Faiz turut memberi contoh dibawah pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar kerajaan berjaya membayar semua tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19 bilion.
“GST diperkenal kerajaan BN, dan pada ketika itu harga barang melambung, tapi bawah Pakatan Harapan (PH) berjaya mengurangkan harga barang. Malah, kerajan PH langsaikan hutang dan bayar balik (tuntutan GST) itu RM19 bilion…jadi di mana kita nak katakan dasar kerajaan lepas itu lebih baik dari sekarang,”soalnya.
Faiz pada masa sama mengingatkan Umno supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan jika benar-benar mahu mengekalkan kestabilan politik sehingga tamat penggal, sebagaimana dikatakan pucuk pimpinan parti itu.
Mengulas perkembangan politik semasa, Faiz berkata, PH perlu bersedia dengan kemungkinan tidak bekerjasama dengan BN pada PRU akan datang.
“Keputusan dua PRN sebagai ‘wake-up call’ supaya PH memperkukuh jentera sendiri dan tidak boleh bergantung kepada kerjasama dengan pihak lain,” katanya.
Dalam ucapan dasar presiden sempena PAU, semalam, Zahid yang juga timbalan perdana menteri turut merujuk kepada pihak tertentu dengan ungkapan ‘cukup-cukuplah’, dan ‘bagi peluang kami pula’.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.