4 maut kereta langgar lori di Sabah

Empat lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan di Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah memaklumkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama bantuan BBP Lintas bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan 2.37 pagi tadi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati kemalangan melibatkan Perodua Viva yang terbabas sendiri lalu melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan.
“Terdapat empat mangsa dilaporkan tersepit dalam kenderaan. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya menurut Bernama.
Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa selesai pada 3.50 pagi dan semuanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.