Bollywood HungamaBREAKING: Hanuman Ansh ends with the promise of a sequel; writer-director Vishal Chaturvedi begins work on the second partCNN TürkHull City devreden çıktı! Fofana'ya yeni talip...וואלהבאתרי בנייה: שלושה שב"חים ומעסיקים נעצרו בחולוןPunchEPL: Sons of fallen police officer lead Man United team as mascotsESPNTransfer rumors, news: Spurs to make late move for Pulisic?InquirerDel Pilar’s 176th birthday marked quietly amid Bulacan floodsThe Jerusalem PostRegional council head in southern Israel arrested in raid on charges of bribery, fraud한겨레‘1조 적자 비상’ 경기도, 재정위기 극복 ‘두 갈래’ 전략은?Sözcü20 yaşındaki Samet kazada hayatını kaybettiSky TG24Franceschini: "Convivo con il Parkinson, è stata una botta tremenda"UOLLeilão virtual da Casas Bahia termina nesta sexta-feira (4); veja detalhesSouth China Morning PostStudent admits forging reference letter for PhD place at Education University
The Daily Newsstand · Free, Always
Monday, August 31, 2026

Daya juang ketenteraan dan kebangsaan: Antara amanah negara dan kepentingan kuasa

Translate

Setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, rakyat mengibarkan Jalur Gemilang, mengenang pengorbanan generasi terdahulu dan memperbaharui rasa cinta kepada tanah air. Namun, kemerdekaan tidak seharusnya berhenti sebagai nostalgia terhadap detik 31 Ogos 1957. Kemerdekaan ialah suatu amanah yang mesti dipelihara, diisi dan diwariskan. Dalam konteks ini, kelompok peneraju negara memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar mentadbir urusan harian. Mereka menentukan arah perjalanan negara, membentuk keyakinan rakyat serta memastikan kebebasan yang diwarisi tidak kehilangan makna akibat kelemahan kepimpinan, perpecahan masyarakat atau pengabaian terhadap kepentingan nasional.

Kelompok peneraju negara tidak terbatas kepada pemimpin politik. Ia merangkumi penjawat awam kanan, pemimpin pasukan keselamatan, hakim dan pengamal undang-undang, ilmuwan, pendidik, tokoh ekonomi, pengamal media, pemimpin agama serta pemimpin masyarakat. Mereka mempunyai pengaruh terhadap dasar, institusi, ilmu, pemikiran dan tingkah laku rakyat. Oleh sebab pengaruh tersebut, setiap keputusan mereka membawa kesan yang melangkaui kedudukan peribadi atau kepentingan organisasi. Keputusan yang bijaksana dapat mengukuhkan negara, manakala keputusan yang cuai atau mementingkan kelompok tertentu boleh merosakkan kepercayaan yang dibina selama beberapa generasi.

Syarahan mengenai peranan dan tanggungjawab kelompok peneraju negara mengingatkan kita bahawa kepimpinan ialah suatu amanah, bukan keistimewaan tanpa batas. Dalam organisasi tentera, daya juang ialah tenaga dalaman yang menghidup dan meletakkadarkan prestasi daya tembak dan daya gerak. Senjata yang canggih serta keupayaan bergerak yang pantas belum menjamin kemenangan jika anggota kehilangan keyakinan, disiplin, kesetiaan dan kesanggupan berkorban. Prinsip yang sama berlaku kepada negara. Kemudahan fizikal, kekayaan ekonomi, teknologi dan institusi hanya menghasilkan kekuatan sebenar apabila digerakkan oleh jiwa kebangsaan yang teguh.

Justeru, Hari Kebangsaan perlu menjadi medan muhasabah bagi seluruh kelompok peneraju. Persoalannya bukan sekadar sejauh mana negara telah maju, tetapi sama ada kemajuan tersebut adil, mampan dan berteraskan budaya dan nilai sepunya. Negara mungkin memiliki bangunan tinggi, teknologi canggih dan pertumbuhan ekonomi yang baik, tetapi kemerdekaannya tetap rapuh jika rakyat hilang kepercayaan, institusi diperalatkan, rasuah dinormalisasikan atau identiti nasional terhakis. Sebagaimana daya juang ketenteraan menentukan keberkesanan kuasa tempur, daya juang kebangsaan menentukan kemampuan seluruh kekuatan negara menyatu bertindak ketika aman mahupun krisis.

Amanah, integriti dan keteladanan

Tanggungjawab pertama kelompok peneraju ialah menjaga amanah melalui integriti. Integriti bermaksud kesatuan antara kata-kata, nilai dan tindakan. Rakyat tidak hanya mendengar ucapan pemimpin; mereka menilai contoh yang ditunjukkan. Apabila pemimpin menuntut disiplin tetapi dirinya mengabaikan peraturan, atau menyeru pengorbanan sedangkan dirinya mengejar kemewahan, jurang kepercayaan akan terbentuk. Sebaliknya, pemimpin yang telus, bersederhana dan sanggup dipertanggungjawabkan akan melahirkan keyakinan bahawa negara diurus untuk kepentingan bersama.

Keteladanan penting kerana budaya sesebuah institusi lazimnya mengalir dari atas. Dalam pembinaan daya juang ketenteraan, gaya kepemimpinan, jiwa tentera, kepuasan kerja dan komitmen terhadap organisasi saling mempengaruhi keyakinan anggota untuk terus melaksanakan misi. Pada peringkat negara, unsur yang sama menjelma sebagai kepemimpinan berwibawa, jiwa patriotik, kesejahteraan rakyat dan komitmen kepada negara. Jika peneraju menghargai ilmu, menghormati undang-undang dan membuka ruang pandangan profesional, rakyat serta institusi akan lebih yakin menghadapi cabaran. Namun, kepemimpinan yang menutup kelemahan dan menghukum teguran akan menghakis daya juang dari dalam.

Salah satu cabaran terbesar ialah kelompongan arah perjuangan. Kelompongan ini muncul apabila tujuan memimpin tidak lagi berpaksikan khidmat kepada negara, tetapi beralih kepada usaha mempertahankan kedudukan, memenuhi kepentingan kelompok atau memperoleh pengiktirafan politik. Dalam sistem demokrasi, sokongan politik memang diperlukan untuk membentuk kerajaan dan melaksanakan dasar. Namun, sokongan tersebut tidak boleh menjadi ukuran utama dalam pelantikan, pemberian peluang atau penentuan benar dan salah. Apabila kesetiaan kepada individu mengatasi kesetiaan kepada Perlembagaan, institusi dan rakyat, peneraju mungkin kelihatan kuat secara politik tetapi sebenarnya melemahkan daya juang kebangsaan.

Keikhlasan perjuangan pula perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar pengakuan. Ia terlihat apabila peneraju sanggup memilih individu yang paling berwibawa walaupun bukan penyokong terdekat, menerima teguran profesional, berlaku adil kepada pihak yang berbeza pandangan dan menolak keputusan yang menguntungkan kelompok sendiri tetapi merugikan negara. Integrasi nasional tidak akan terbina melalui kepatuhan politik yang dipaksakan. Ia lahir apabila rakyat percaya bahawa kepimpinan mempunyai arah perjuangan yang jelas, keputusan dibuat secara adil dan setiap warga dihargai berdasarkan sumbangan, kemampuan serta kesetiaan kepada tanah air.

Dalam negara merdeka, tatakelola yang baik merupakan benteng kepada kedaulatan. Rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran bukan semata-mata kesalahan pentadbiran; semuanya melemahkan keupayaan negara menyediakan pendidikan, kesihatan, keselamatan dan peluang ekonomi. Setiap sumber yang diselewengkan mengurangkan kepercayaan rakyat serta membesarkan jurang antara golongan berkuasa dengan masyarakat biasa. Oleh itu, peneraju perlu memastikan proses membuat keputusan jelas, perolehan dipantau, konflik kepentingan diurus dan kesalahan disiasat tanpa memilih kedudukan.

Pada masa sama, integriti tidak boleh difahami secara sempit sebagai ketiadaan jenayah sahaja. Ia turut merangkumi keberanian moral untuk mengakui kesilapan, membetulkan dasar yang tidak berkesan dan menolak keputusan yang bercanggah dengan kepentingan negara. Peneraju tidak menjadi lemah apabila mengakui kekurangan; sebaliknya, kejujuran meningkatkan kewibawaannya. Hari Kebangsaan mengajak kita mengingati bahawa kemerdekaan dicapai melalui keberanian dan pengorbanan. Pada zaman kini, keberanian itu perlu diterjemahkan melalui kepimpinan berprinsip—melakukan perkara yang benar walaupun sukar, tidak popular atau menuntut pengorbanan peribadi.

Perpaduan – menyatukan akar, membina bangsa

Tanggungjawab kedua ialah memelihara perpaduan nasional. Malaysia dibina daripada kepelbagaian kaum, agama, bahasa, wilayah dan pengalaman sejarah. Kepelbagaian ini boleh menjadi sumber kekuatan jika diurus dengan adil dan bijaksana, tetapi boleh berubah menjadi garis perpecahan jika dimanipulasi demi keuntungan politik atau kepentingan sempit. Kelompok peneraju wajib menenangkan ketegangan, memperluas ruang pertemuan dan mengangkat identiti kebangsaan tanpa menafikan identiti komuniti.

Perpaduan bukan bermaksud semua rakyat mesti berfikir atau hidup dengan cara yang sama. Perpaduan bererti rakyat menerima bahawa mereka mempunyai nasib bersama, menghormati Perlembagaan, mengiktiraf hak dan tanggungjawab sesama warga serta bersedia mempertahankan keamanan negara. Dalam sebuah pasukan tentera, keutuhan unit meningkatkan daya juang kerana anggota percaya kepada rakan, pemimpin dan misi. Pada peringkat negara, perpaduan berfungsi sebagai keutuhan nasional: rakyat yang pelbagai bergerak di bawah tujuan bersama. Pemimpin harus menggunakan bahasa yang menyatukan kerana setiap ucapan tokoh berpengaruh boleh menjadi jambatan atau api yang menaikkan ataupun meruntuhkan semangat kebangsaan.

Pembangunan pula perlu dinilai bukan hanya melalui angka pertumbuhan, bangunan tinggi atau bantuan yang diagihkan, tetapi melalui peningkatan daya usaha rakyat. Bantuan kerajaan seperti subsidi dan Sumbangan Tunai Rahmah amat diperlukan bagi melindungi golongan rentan, terutama ketika kos kehidupan meningkat. Namun, bantuan mesti menjadi jambatan menuju kemampuan, bukan tempat bergantung secara kekal. Analogi seorang anak muda yang menerima bantuan tunai lalu menggunakannya untuk perbelanjaan yang tidak membina menimbulkan persoalan penting:adakah dasar tersebut memperkukuh daya tahan dan produktiviti, atau tanpa sengaja melemahkan inisiatif serta tanggungjawab diri? Dasar yang baik perlu menggabungkan perlindungan sosial dengan pendidikan, kemahiran, peluang pekerjaan dan disiplin penggunaan sumber.

Bahasa Kebangsaan juga merupakan asas integrasi dan daya juang kebangsaan. Kecenderungan sebahagian rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, menggunakan bahasa Inggeris dalam media nasional wajar direnungkan. Adakah bahasa Inggeris digunakan kerana keperluan ilmu dan komunikasi, atau untuk kelihatan lebih moden, berstatus dan intelektual? Penggunaan bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang kurang patriotik; bahasa itu penting dalam diplomasi, teknologi dan hubungan antarabangsa. Namun, jika Bahasa Melayu diketepikan kerana dianggap kurang berprestij atau tidak cukup ilmiah, keadaan tersebut menandakan hakisan keyakinan terhadap identiti sendiri.

Media nasional dan kelompok peneraju perlu menunjukkan bahawa keintelektualan terletak pada kedalaman pemikiran, bukan semata-mata bahasa yang digunakan. Malaysia memerlukan rakyat yang menguasai pelbagai bahasa tetapi mempunyai akar identiti yang jelas: kuasai bahasa antarabangsa untuk meneroka dunia, tetapi utamakan Bahasa Kebangsaan untuk menyatukan dan membina jiwa negara. Sekolah dan universiti pula harus membina generasi yang memahami sejarah secara matang, berfikir secara kritis tanpa kehilangan adab serta mencintai negara tanpa membenci bangsa lain.

Benteng kedaulatan dan ketahanan negara

Tanggungjawab ketiga ialah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara dalam persekitaran yang semakin kompleks. Ancaman masa kini tidak hanya hadir dalam bentuk pencerobohan ketenteraan. Negara berhadapan serangan siber, penyebaran maklumat palsu, tekanan ekonomi, jenayah rentas sempadan, ekstremisme, wabak, bencana alam dan persaingan geopolitik. Semua ancaman ini boleh melemahkan negara tanpa satu das tembakan dilepaskan. Oleh itu, peneraju mesti memiliki pandangan strategik, memahami perubahan persekitaran dan menghubungkan kekuatan ketenteraan dengan diplomasi, ekonomi, teknologi, pendidikan serta ketahanan sosial.

Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan merupakan benteng fizikal negara, namun daya tahan nasional tergantung pada seluruh masyarakat. Dalam kuasa tempur, daya tembak mewakili keupayaan mengenakan kesan terhadap lawan, manakala daya gerak membolehkan pasukan berada di tempat dan masa yang diperlukan. Daya juang pula memberi tujuan, keberanian dan ketahanan kepada kedua-duanya. Tanpa daya juang, aset mungkin lengkap tetapi tindakan menjadi ragu-ragu, terpisah dan rapuh – mudah patah. Oleh itu, daya juang bukan unsur sampingan; ia ialah tenaga penggerak yang menukarkan kemampuan kepada keberkesanan.

Analogi ini menjadi asas kepada daya juang kebangsaan. Sumber pertahanan, ekonomi, teknologi, infrastruktur dan tenaga manusia merupakan kemampuan fizikal negara. Sejarah, budaya, agama, identiti, kepercayaan terhadap institusi, perpaduan serta kewibawaan kepimpinan pula membentuk kekuatan bukan fizikal berupa nilai menjadi menjadi asas ukuran perjuangan kenegaraan (daya juang kebangsaan). Kelompok peneraju bertanggungjawab menyepadukan kedua-duanya supaya seluruh jentera negara dapat bertindak menuju matlamat bersama. Negara yang kaya sumber tetapi miskin jiwa juang kebangsaan boleh hilang arah; juga negara yang kuat semangat (jiwa juang) tetapi lemah pengurusan pula sukar menterjemahkan cita-cita kepada hasil.

Dalam hubungan antarabangsa, peneraju perlu mengamalkan diplomasi yang berprinsip dan pragmatik. Malaysia harus bersahabat dengan semua pihak tanpa menyerahkan kebebasan membuat keputusan. Kepentingan negara hendaklah menjadi kompas, manakala undang-undang antarabangsa, kerjasama serantau dan hubungan saling menghormati menjadi panduan. Negara kecil dan sederhana tidak boleh bergantung semata-mata pada kekuatan material; kita perlu membina kredibiliti, rangkaian persahabatan serta reputasi sebagai negara yang konsisten dan boleh dipercayai.

Keselamatan juga mempunyai dimensi dalaman. Rakyat yang mudah dipengaruhi berita palsu atau propaganda boleh dipisahkan daripada institusi dan sesama sendiri. Peneraju media, teknologi dan pendidikan mempunyai tanggungjawab membantu masyarakat membezakan fakta daripada manipulasi. Tindakan mengekang ancaman perlu seimbang dengan pemeliharaan hak dan kebebasan yang dijamin. Negara tidak boleh mempertahankan kemerdekaan dengan menghapuskan nilai yang memberikan kemerdekaan itu makna. Kekuatan sebenar terhasil apabila keselamatan, kebebasan, disiplin dan keadilan bergerak secara seimbang.

Bahaya yang lebih halus muncul apabila keselamatan itu sendiri dipolitikkan dan proses sekuritisasi disalahgunakan. Dalam keadaan ini, individu atau kelompok tertentu membingkaikan sesuatu isu, pihak atau perbezaan pandangan sebagai ancaman luar biasa untuk memperoleh sokongan, mengabsahkan tindakan luar kebiasaan atau mengekalkan kuasa politik. Akibatnya, kepentingan kelompok boleh menyamar sebagai kepentingan keselamatan negara. Perbezaan antara ancaman sebenar dengan ancaman yang dibentuk (sekuritisasi/securitisation) melalui naratif menjadi kabur, manakala institusi keselamatan berisiko ditarik ke dalam persaingan politik.

Kelompok peneraju wajib memastikan keselamatan kekal sebagai amanah nasional yang berpaksikan Perlembagaan, undang-undang, penilaian profesional dan kepentingan jangka panjang negara bangsa. Angkatan keselamatan tidak seharusnya menjadi alat individu, parti atau organisasi. Sekuritisasi hanya wajar apabila ancaman dapat dibuktikan, mempunyai kesan serius terhadap kelangsungan negara dan ditangani melalui mekanisme yang sah serta boleh dipertanggungjawabkan. Jika kuasa politik diutamakan melebihi keutuhan negara, daya juang kebangsaan akan terhakis kerana rakyat hilang kepercayaan terhadap pemimpin, institusi dan tujuan perjuangan itu sendiri.

Daripada warisan kepada amanah

Tanggungjawab terakhir dan paling jauh kesannya ialah menyediakan negara untuk generasi masa hadapan. Selepas lebih enam dekad merdeka, satu persoalan jujur perlu diajukan: adakah Malaysia menjadi semakin yakin dan mandiri apabila semakin jauh daripada zaman penjajahan, atau sebahagian pemikiran, sistem dan ukuran kejayaan kita masih bergantung pada kerangka yang diwarisi? Jarak masa daripada penjajahan tidak dengan sendirinya menjamin pembebasan jiwa. Kemerdekaan sebenar berlaku apabila rakyat mampu mengambil yang bermanfaat daripada dunia, tetapi menilai, menyesuaikan dan mengembangkannya berdasarkan sejarah, budaya serta keperluan negara sendiri.

Seorang pentadbir mungkin memikirkan tempoh perkhidmatannya dan seorang ahli politik mungkin memikirkan pilihan raya berikutnya, tetapi seorang negarawan memikirkan generasi berikutnya. Kelompok peneraju perlu berani melabur dalam pendidikan berkualiti, penyelidikan, teknologi, kesihatan awam, kelestarian alam dan pembentukan karakter. Hasilnya mungkin tidak kelihatan segera, tetapi di situlah terletaknya ukuran kepimpinan yang sebenar. Negara yang merdeka tidak sekadar menggantikan pentadbir asing dengan pemimpin tempatan; ia membina kemampuan berfikir, membuat keputusan dan menentukan arah berdasarkan keyakinan sendiri.

Malaysia memerlukan peneraju yang mampu membina daya juang kebangsaan melalui tiga kekuatan. Pertama ialah kekuatan pemikiran untuk memahami masalah secara menyeluruh dan membuat keputusan berasaskan ilmu. Kedua ialah kekuatan moral untuk menolak salah guna kuasa serta mempertahankan keadilan. Ketiga ialah kekuatan jiwa untuk kekal – tekal tenang, berani dan berdaya tahan ketika negara menghadapi krisis. Ketiga-tiganya mencerminkan kesiapsiagaan kognitif, spiritual dan fizikal yang diperlukan dalam daya juang ketenteraan, tetapi diperluas kepada seluruh masyarakat dan institusi negara. Daya Juang Ketenteraan yang terkait rapat dengan daya juang kebangsaan perlu di kasihi dan dicintai terutamanya dalam masa aman kerana semaian dan penyuburannya memerlukan jangka masa yang panjang. Jika cinta kepada daya juang (ketenteraan/kebangsaan) hanya bermusim terutamanya semasa keselamatan nasional tergugat, maka kita menempa suatu situasi kritikal terhadap kelangsungan hudupnya negara bangsa.

Rakyat turut mempunyai peranan dalam menentukan mutu kelompok peneraju. Masyarakat tidak boleh menuntut pemimpin berintegriti jika mereka sendiri meraikan penipuan, menyebarkan fitnah atau memilih berdasarkan kebencian. Demokrasi dan kewarganegaraan menuntut rakyat menilai dasar secara rasional, menegur dengan tertib, mematuhi undang-undang dan mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat. Hubungan pemimpin dengan rakyat bukan hubungan satu hala; ia merupakan perjanjian moral yang saling memperkukuh. Pemimpin memberi arah dan teladan, manakala rakyat memberikan semakan, sokongan serta tenaga untuk melaksanakan cita-cita negara yang bernama jiwa nasional yang berdaya juang.

Kesimpulannya, Hari Kebangsaan ialah masa untuk mensyukuri kemerdekaan dan memperbaharui tekad mempertahankannya. Daya juang ketenteraan menyediakan asas konseptual yang jelas: kekuatan material tidak bernilai sepenuhnya tanpa manusia yang memiliki keyakinan, disiplin, kesatuan dan kemahuan menyelesaikan misi. Apabila prinsip ini diperluas kepada negara, lahirlah daya juang kebangsaan – keupayaan kolektif rakyat, kepimpinan dan institusi untuk bertahan, menyesuaikan diri serta bertindak bersama demi kepentingan tanah air. Kepentingan ketenteraan yang seimbang antara daya tembak, daya gerak dan daya juang dan keseimbangan daya juang kebangsaan – antara ekonomi, fizikal dan spiritual.

Kelompok peneraju negara mesti melihat jawatan amat siknifikan berhubungan dengan budaya, intergrasi/setiakawan, dan sebagai amanah sejarah: menjaga kedaulatan, menegakkan integriti, menyatukan rakyat, menjamin keselamatan, memperkasa ilmu dan mewariskan negara yang lebih baik. Kemerdekaan tidak dipelihara oleh slogan semata-mata, tetapi melalui keputusan yang benar, institusi yang kukuh dan rakyat yang bersatu. Sempena Hari Kebangsaan, marilah kita mengangkat satu ikrar bersama: kuasa hendaklah disertai amanah, kebebasan disertai tanggungjawab dan kemajuan disertai kemanusiaan. Dengan daya juang kebangsaan yang berakar pada semangat ketenteraan—berdisiplin, setia, berani dan tidak mudah menyerah—Malaysia mampu kekal merdeka, bermaruah, sejahtera dan dihormati.

Penulis ialah psikologis ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.