PAS tak mungkin tinggalkan Wawasan, PN demi Umno

PAS tidak mungkin meninggalkan Perikatan Nasional (PN), khususnya Wawasan, semata-mata untuk membentuk kerjasama dengan Umno pada PRU16, kata penganalisis politik.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata PAS lebih berkemungkinan membuka ruang kepada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sambil mengekalkan hubungan dengan rakan-rakannya dalam PN.
“PAS tidak akan tergesa-gesa meninggalkan Wawasan… PAS mungkin memilih untuk bekerjasama dengan BN dan bergandingan dengan anggota PN, kecuali Bersatu,” katanya kepada FMT.
Walaupun PAS mempunyai dorongan untuk bekerjasama dengan Umno sahaja, Sivamurugan berkata meninggalkan PN boleh merumitkan naratif penyatuan Melayu-Islam yang diuar-uarkan PAS.
“Ujian sebenar ialah sama ada PAS melihat perpaduan ummah sebagai prinsip lebih luas untuk bekerjasama dengan parti lain atau sekadar kerjasama strategik dengan Umno,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno mungkin mengintai kerusi yang kini diduduki Wawasan. Oleh itu, kegagalan mencapai persetujuan mengenai pihak yang akan bertanding di kerusi berkenaan boleh menyebabkan BN bergerak bersendirian pada PRU16, katanya.

“Jika BN mahupun PN tidak bersedia untuk beralah atau mereka gagal mencapai kompromi, PAS dan Wawasan akhirnya mungkin kekal bersama manakala Umno bertanding bersendirian,” katanya kepada FMT.
Awang Azman berkata sukar bagi PAS untuk meninggalkan PN begitu sahaja, sambil menyifatkan cakap-cakap sedemikian mungkin sekadar ‘muslihat retorik’ menjelang PRN Melaka.
Beliau berkata PAS sebab utama kebangkitan Wawasan. “Wawasan ialah projek bawah pemimpin PAS. Jadi, sukar untuk melihat PAS meninggalkan Wawasan begitu sahaja.”
Wawasan sebahagian besarnya diterajui bekas pemimpin Bersatu seperti Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin. Pemimpin-pemimpin ini pada asalnya ahli Umno.
PN, yang diterajui PAS, dilaporkan diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau berdepan pembatalan pendaftaran.
Adun Sura daripada PAS, Dr Tengku Fakhruddin Tengku Fauzi, dilihat tidak terkesan dengan laporan berkenaan, dengan menulis dalam satu hantaran di Facebook: “Kami ada PAS”.
Beberapa hari sebelumnya, pemimpin Bersatu Dr Afif Bahardin membangkitkan kemungkinan PAS meninggalkan PN untuk membentuk pakatan politik rasmi dengan Umno-BN. Afif berkata Bersatu bersedia untuk menerajui PN semula sekiranya perkara itu berlaku.
Pembantu politik kepada Presiden PAS Hadi Awang, Syahir Sulaiman, menolak kenyataan Afif, mengatakan soal kepimpinan PN mesti diputuskan oleh majlis tertinggi PN.
Umno memberi isyarat bahawa parti itu cenderung mengadakan rundingan mengenai kemungkinan kerjasama PRU16 dengan PAS berbanding dengan PN.
Apa sahaja boleh berlaku
Berbeza dengan Sivamurugan dan Awang Azman, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia percaya kemungkinan PAS akhirnya memilih Umno berbanding rakan gabungan sedia ada tidak boleh diketepikan.
Beliau berkata kerjasama dengan Umno akan memberikan PAS pulangan politik yang lebih besar, khususnya kerana kedua-dua parti boleh membawa naratif perpaduan Melayu-Islam kepada pengundi Melayu.

Walaupun bersaing selama beberapa dekad, Mazlan berkata, dua parti Melayu-Islam terbesar itu telah menunjukkan menerusi Muafakat Nasional bahawa mereka boleh bekerjasama apabila kepentingan bertemu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata Umno memerlukan PAS untuk PRN Melaka dan PRU16. Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan parti pimpinan Hadi itu akan meninggalkan Wawasan yang berbilang kaum.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.