Israel jadikan sumber air senjata paksa penduduk Palestin berpindah

Penduduk Palestin berdepan kekurangan bekalan air bersih dan selamat yang serius apabila rejim Zionis terus memperketat kawalan terhadap sumber air di seluruh wilayah Palestin diduduki, sekali gus menjadikannya strategi untuk memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Ketua Pengarah Perancangan dan Dasar Palestin, Adel Yasin, berkata sejak pendudukan Israel pada Jun 1967, penduduk Palestin dihalang membangunkan sumber air sendiri, manakala semua sumber air berada di bawah kawalan langsung Israel.
“Penduduk Palestin hanya mendapat tiga hingga lima liter air minuman seorang sehari berbanding kira-kira 100 liter yang diperlukan bagi setiap individu untuk menjalani kehidupan sihat berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam wawancara bersama Bernama TV dari Palestin baru-baru ini.
Adel yang juga jurucakap rasmi Pihak Berkuasa Air Palestin berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia dan PBB, kira-kira 90% infrastruktur bekalan air di Gaza mengalami kerosakan menyeluruh sejak Oktober 2023.
Jelasnya, Israel turut menghalang kemasukan bahan penting seperti konkrit, bahan api dan keluli yang diperlukan untuk membina semula kemudahan bekalan air di Gaza.
Menurutnya, keadaan di Tebing Barat semakin meruncing apabila rejim Israel turut menguasai sumber air bawah tanah.
“Penduduk Palestin terpaksa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki yang datang dari lokasi jauh, namun kaedah itu juga tidak selamat kerana mudah menjadi sasaran serangan tentera udara Israel.”
Beliau berkata, beberapa petugas Pihak Berkuasa Air Palestin turut terbunuh ketika menjalankan kerja penyelenggaraan atau membaiki kemudahan bekalan air.
Adel turut mendedahkan keadaan sebuah keluarga Palestin di Hebron hanya menerima bekalan air sekali setiap 60 hari pada musim panas dan 30 hari pada musim sejuk, sedangkan penempatan Israel di kawasan sama menikmati bekalan air sepanjang masa.
“Ini bermakna masalah berkenaan bukan berpunca daripada kekurangan sumber air secara semula jadi, sebaliknya krisis akibat tindakan manusia dan dikawal oleh Israel.
“Jelas sekali mereka menggunakan air sebagai senjata untuk memaksa penduduk Palestin berpindah.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.