Wanita maut bot rafting terbalik di Hulu Selangor

Seorang wanita maut selepas bot rafting dinaikinya terbalik di Sungai Pertak, Hulu Selangor, semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan mangsa 34 tahun itu terjatuh dari bot ketika melalui jeram pertama sekitar 12 tengah hari Sabtu.
“Menurut rakan mangsa, bot rafting yang dinaiki mangsa bersama lima rakannya terbalik dan mereka terjatuh dari bot di jeram pertama.
“Mangsa kemudian didapati tersangkut di dasar air dan rakan cuba mengeluarkannya daripada halangan,” katanya menurut Astro Awani.
Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada 3.52 petang.
Jelasnya, pasukan bomba membawa mangsa kira-kira 1km ke kawasan selamat berhampiran Kem Rimbayu sebelum diserahkan kepada polis.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.