PAS masih perlukan jenama PN, kata penganalisis

Platform Perikatan Nasional (PN) mungkin menjadi kunci kepada cita-cita PAS untuk menawan Putrajaya, kata penganalisis politik.

Penganalisis Asrul Sani berkata jenama PN boleh membantu PAS melembutkan imej dogmatiknya dan menarik sokongan yang lebih luas, manakala ahli akademik Azmil Tayeb berpendapat ia boleh menjadi jambatan ke kawasan yang masih belum ada pengaruh besar daripada parti itu.
Mereka berkata perkara itu boleh membantu parti Islam tersebut memperoleh pengaruh di kerusi separa bandar, sekali gus membolehkannya berkembang melangkaui kawasan kubu tradisinya.
Asrul yang juga naib presiden di penyedia perkhidmatan perunding The Asia Group, memberitahu FMT bahawa PAS akan mengehadkan jangkauannya jika bertanding menggunakan panji sendiri, sekali gus menjejaskan hasrat untuk menjadi sebagai kerajaan menanti.
Beliau berkata PN memberikan PAS platform pembangkang nasional yang ‘sudah siap’, membolehkan parti itu memperluaskan identitinya melangkaui ciri-ciri Islam semata-mata.

Azmil dari Universiti Sains Malaysia berkata nilai PN kepada PAS juga terletak pada keupayaannya untuk menjadi jambatan ke kawasan yang sebelum ini kurang mendapat pengaruh daripada parti itu.
“Menjadi sebahagian daripada PN memberikan PAS akses ke kawasan-kawasan di Malaysia yang kurang dapat pengaruh parti itu. Ia memberi PAS peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi, seperti yang dilakukannya pada PRU15,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azmil berpendapat peluasan pengaruh PAS sebahagian besarnya melibatkan peningkatan pengaruhkan Melayu-Islam di seluruh negara, bukannya membina daya tarikan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Niat PN selama ini adalah untuk memaksimumkan undi Melayu dengan memberi tumpuan kepada agenda perpaduan Melayu-Islam, yang dilakukan dengan mengorbankan undi bukan Melayu,” katanya.
Beliau berkata walaupun PAS bertanding solo pada PRU16, asas sokongannya cukup kukuh untuk memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi, sekali gus memastikan parti itu kekal sebagai pemain utama selepas pilihan raya.
Keabsahan PN
Bagaimanapun, PAS mungkin tidak dapat menggunakan platform PN untuk bertanding dalam pilihan raya dalam masa terdekat selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) pada 23 Sept lalu menggantung semua aktivitinya.
Tindakan itu susulan aduan Bersatu iaitu parti komponen PN terhadap gabungan tersebut.
JPPM juga mengeluarkan notis yang mengarahkan PN menjelaskan mengapa ia tidak sepatutnya dibatalkan pendaftarannya.
PN telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kedua-dua notis tersebut. Ia juga memohon penjelasan mengenai aduan Bersatu dan sama ada ia layak mengemukakan calon, khususnya pada PRN Melaka yang akan datang.
Asrul berkata keputusan PN untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung notis JPPM itu menunjukkan bahawa PAS, berhasrat untuk mengekalkan pengaruhnya di gabungan itu dan bukannya membubarkannya.
Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan pengerusi PN.
“PAS mungkin tidak bersedia untuk meninggalkan PN sepenuhnya, tetapi berkemungkinan cuba memastikan gabungan itu beroperasi mengikut terma yang mencerminkan kekuatan PAS dan tidak mengehadkan rundingan kerusi atau strategi PRU16,” katanya.
Mengulas laporan PAS dan Umno sudah mengadakan rundingan mengenai kemungkinan bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, Asrul berkata sejak bertahun-tahun PAS sering membentuk dan membubarkan pakatan merentasi spektrum politik.
“PAS sentiasa bersikap pragmatik dari segi politik. Ia berulang kali menyesuaikan diri dengan pakatan apabila melihat laluan yang lebih baik untuk mendapatkan kuasa.
“Ini termasuk kerjasama terdahulunya dengan DAP di bawah Pakatan Rakyat, dengan Umno di bawah Muafakat Nasional, dan kemudiannya dengan Bersatu di bawah PN,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.