Isu tiket mahal: Pemimpin PAS Sabah kemuka cadangan

Seorang pemimpin PAS Sabah mencadangkan beberapa inisiatif untuk dilaksanakan kerajaan persekutuan, termasuk skim tambang kecemasan dan tempahan pukal, bagi menangani lonjakan harga tiket penerbangan ke Malaysia Timur.
Ketua Penerangan PAS Sabah Mustaman Mustain berkata, perjalanan udara kini menjadi keperluan asas bagi rakyat Sabah, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang perlu ke Semenanjung atas urusan kerja, pendidikan serta kecemasan.
Antara cadangan beliau bagi menangani isu tambang tersebut termasuk:
- skim tambang khas bagi kecemasan keluarga;
- subsidi penerbangan musim perayaan diperluas ke waktu puncak lain seperti cuti sekolah dan cuti semester;
- peruntukan kapasiti penerbangan pada kadar tambang berpatutan bagi laluan Timur-Barat pada waktu puncak;
- skim pembelian awal atau tempahan pukal bagi laluan penting, seperti antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau.
Mustaman berkata, skim tambang kecemasan keluarga dapat membantu mereka yang terpaksa membatalkan perjalanan untuk menghadiri pengebumian akibat tambang yang terlalu tinggi. Terdapat kes melibatkan keluarga terkandas di kampung halaman hampir dua bulan kerana harga tiket yang melambung, manakala golongan pelajar pula bimbang tidak dapat pulang ke universiti masing-masing.
“Ini menunjukkan isu (tiket penerbangan mahal) memberi impak nyata terhadap kehidupan rakyat,” kata Mustaman, lapor The Borneo Post, sebagai respons terhadap laporan bahawa tambang penerbangan antara Malaysia Timur dan Semenanjung melonjak lebih 200%
Beliau berkata, subsidi tambang musim perayaan wajar diperluas ke waktu puncak seperti cuti sekolah dan cuti semester. Kerajaan ketika ini menetapkan harga siling RM599 bagi penerbangan musim perayaan untuk laluan Timur-Barat.
Syarikat penerbangan juga perlu memperuntukkan sebahagian kapasiti bagi laluan Sabah-Semenanjung pada harga berpatutan ketika musim permintaan tinggi, kata Mustaman.
“Langkah ini lebih baik berbanding sekadar menambah subsidi kerana isunya bukan sekadar harga tiket, tetapi juga kapasiti penerbangan,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sistem bagi mengesan kenaikan harga luar biasa lebih awal supaya tindakan segera dapat diambil.
Sabtu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi mencari jalan penyelesaian bagi lonjakan tambang penerbangan melibatkan dua negeri itu.
Menurutnya, kos operasi syarikat penerbangan meningkat susulan krisis tenaga global.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.