Dengan hanya 5 murid, sekolah Tamil ini tunjuk makna sebenar Deepavali

Di sebuah sekolah rendah di Hulu Selangor, guru mengenali nama setiap murid memandangkan keseluruhan sekolah itu hanya mempunyai lima murid.
Ditubuhkan pada 1938, sekolah ini terletak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta dari Slim River. Ia mula beroperasi di sebuah rumah kampung lama yang dibina menggunakan papan kayu dan berbumbung logam, struktur yang masih kekal sehingga kini.
Seiring perkembangan sekolah selama bertahun-tahun, jumlah pendaftaran murid turut meningkat dan mencapai kemuncaknya dengan kira-kira 400 orang pada 1972.
“Agak menyedihkan mengenangkan sebuah sekolah yang pernah mempunyai jumlah murid seramai itu, kini hanya mempunyai lima murid,” kata Guru Besar, Annam Sannasy kepada FMT Lifestyle.
“Ramai orang India menetap di kawasan estet ini dahulu, tetapi lama-kelamaan, kebanyakan mereka berpindah ke Negeri Sembilan.”
Hari ini, murid sekolah itu datang dari kawasan berhampiran, iaitu Kampung Sri Keledang dan Slim River.

Annam menyertai sekolah itu pada akhir 2024 sebagai guru besar – jawatan yang pertama kali disandangnya. Beliau yang pernah berkhidmat di sebuah sekolah dengan ratusan murid, mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan perbezaan begitu ketara.
Kini, jumlah keseluruhan warga sekolah ini kira-kira 15 orang, terdiri daripada enam guru, lima murid dan beberapa kakitangan sokongan. Tetapi, Annam menegaskan walaupun sekolah itu kecil, guru tidak pernah membiarkan keadaan itu membataskan usaha mereka dalam memberikan yang terbaik kepada murid.
Setiap hari, guru menempuh perjalanan kira-kira sejam ke sekolah. Malah, ada yang sanggup melakukan lebih daripada tanggungjawab biasa dengan mengambil dan menghantar murid berdepan masalah pengangkutan. Guru turut membawa murid ke pelbagai acara berlangsung di lokasi sejauh beberapa jam perjalanan.

Bagi Eganash Arijenan yang berkhidmat sebagai guru di sekolah ini selama enam tahun, hubungan antara guru dan murid amat rapat.
“Kami hanya bersikap tegas sebagai guru dan murid ketika berada di dalam kelas. Sebaik melangkah keluar, kami umpama kawan,” kata Eganash yang pernah berkhidmat di sebuah sekolah Tamil lain dengan murid tidak ramai.
Pada waktu rehat, guru menghidangkan makanan kepada murid. Setiap pagi, mereka mengambil makanan daripada seorang pembekal ketika dalam perjalanan ke sekolah kerana tiada kantin menyediakan makanan dalam premis berkenaan.
Guru dan murid akan makan bersama sambil berbual pada waktu rehat.

Annam berkata, pihak sekolah tidak mengenakan sebarang yuran kepada murid, sebaliknya perbelanjaan sekolah ditampung melalui peruntukan kementerian serta sumbangan dan sokongan penaja.
Walaupun terletak di tengah ladang menghijau, sekolah ini dilengkapi pelbagai kemudahan baik. Selain padang luas, ia turut mempunyai televisyen pintar, projektor, mikroskop serta pelbagai peralatan makmal lain.
Setiap murid dibekalkan komputer riba untuk pembelajaran. Malah, sekolah ini mempunyai lebih daripada lima bilik darjah, walaupun jumlah muridnya hanya lima orang.
Dengan seorang murid di Tahun Dua, tiga orang di Tahun Lima dan seorang lagi di Tahun Enam, sebahagian daripada mereka berpeluang mendapat perhatian secara individu daripada guru.
“Mereka telah memenangi banyak pingat dalam pertandingan STEM. Anda pasti tidak menyangka mereka dari sekolah di kawasan estet,” kata Annam.
Sejak dua tahun lalu, sekolah ini membuka pintunya kepada murid dari sekolah berhampiran, termasuk murid Melayu untuk meraikan Deepavali bersama.
Annam percaya sekolah Tamil memainkan peranan penting dalam memastikan tradisi seperti ini terus terpelihara.

“Kanak-kanak yang berdaftar di sekolah Tamil akan belajar cara menyambut Deepavali serta persiapan di sebalik perayaan itu, bermula daripada menghasilkan kolam dan menghias kawasan sekolah sehingga upacara sembahyang.
“Kami mengutamakan tradisi ini. Sebab itu saya berpendapat walaupun jumlah murid tidak ramai, sekolah ini tidak patut ditutup.”
Annam juga berharap tradisi menulis ucapan Deepavali dengan tangan dapat dikekalkan dengan menggalakkan murid bertukar-tukar kad ucapan, bukannya bergantung kepada mesej digital saja.
Eganash pula menekankan semangat perpaduan di sekolah, dengan kakitangan berbangsa Melayu turut serta dalam sambutan perayaan serta aktiviti harian.
“Kita perlu belajar hidup bersama tanpa membezakan kaum atau agama, dan sekolah ialah tempat kanak-kanak mula mempelajari nilai ini. Sambutan Deepavali bukan untuk kaum India saja, ia untuk semua.”
Walaupun kecil dan terletak jauh di kawasan ladang kelapa sawit, sekolah ini membuktikan kemeriahan Deepavali bukan terletak pada skala sambutannya, tetapi pada insan yang bersama untuk menjadikannya istimewa.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.