Gerakan, MIPP akan ikut ke mana saja PAS pergi, kata penganalisis

Penganalisis politik berpendapat Perikatan Nasional (PN) mungkin kehilangan nama dan logonya jika pendaftarannya dibatalkan, tetapi parti komponen Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dijangka tidak akan menjauhi PAS.
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, dua parti itu mungkin terus bersama PAS jika parti Islam itu memberi ruang pilihan raya mencukupi serta identiti politik jelas kepada mereka.

Menurutnya, Gerakan dan MIPP mungkin mahu PN terus wujud, tetapi mereka juga boleh mengikut PAS menyertai wadah politik baharu jika pendaftaran gabungan itu dibatalkan.
“Mereka mahu mengekalkan PN, tetapi jika Bersatu cenderung bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kelebihan di pihak Bersatu untuk mengekalkan PN, selagi PN tidak dibatalkan pendaftarannya.
“Jika itu berlaku, PAS, Wawasan, Gerakan dan MIPP mungkin menghidupkan semula MN sebagai gabungan baharu,” katanya merujuk Muafakat Nasional.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menggantung PN selepas mengeluarkan notis kepada gabungan itu untuk menjelaskan aduan dikemukakan Bersatu.
JPPM berkata penggantungan yang berkuat kuasa 23 Sept lalu itu bertujuan menjaga kepentingan PN daripada terus melanggar peraturan.
Gabungan baharu jika PN dibubarkan

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, hubungan antara parti dalam PN lebih penting daripada struktur rasmi gabungan itu.
“Tiada masalah jika PN dibubarkan. Mereka boleh menubuhkan satu lagi gabungan dengan nama berbeza dan mewujudkan semula struktur sama.
“Jika tiada masa mencukupi untuk membentuk gabungan baharu sebelum pilihan raya, mereka boleh bertanding atas tiket parti lain, kemungkinan besar PAS atau Wawasan.”
Jelasnya, keputusan Gerakan dan MIPP untuk kekal dalam PN menunjukkan mereka lebih selesa terus bersama PAS berbanding Bersatu.
“Jika Gerakan atau MIPP benar-benar lebih rapat dengan Bersatu dan mahu terus bersama parti itu, mereka boleh meninggalkan PN dan membentuk gabungan lain atau menyertai Bersatu.
“Tetapi, perkara itu tidak berlaku dalam beberapa bulan ini. Mereka kelihatan selesa terus berada dalam PN, atau dengan kata lain, bersama PAS.”
PAS penentu masa depan parti kecil

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, parti kecil mungkin tiada pengaruh mencukupi untuk menentukan bentuk susunan politik selepas PN.
“Jawapan mudah ialah MIPP dan Gerakan tidak penting. Mereka bukan pihak yang membuat keputusan. PAS dan Wawasan yang membuat keputusan.
“Jika PAS dan Wawasan memutuskan untuk meletak calon mereka dalam PRN Melaka akan datang, mereka akan bertanding sebagai sebahagian daripada blok PAS. Mereka mungkin bertanding atas tiket PAS.”
Jika pendaftaran PN dibatalkan, beliau berkata, ia hanya mempunyai satu kesan, iaitu logo digunakan calon PN mungkin digantikan PAS, yang mungkin kurang menarik bagi sebahagian kecil pengundi.
Menurutnya, keputusan Gerakan dan MIPP akhirnya akan ditentukan oleh keperluan pilihan raya.
Gerakan dan MIPP merupakan parti politik rasional. Mereka tidak terikat secara khusus kepada PAS, Wawasan atau Bersatu. Sebaliknya, mereka akan menyokong mana-mana parti yang mampu membawa undi kepada mereka kerana tidak berupaya meraih undi mencukupi berdasarkan kekuatan sendiri.
“Pembatalan pendaftaran PN tidak menjejaskan peluang mereka untuk bertanding. Perkara itu ditentukan mengikut pertimbangan strategik PAS dan Wawasan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.