Manfaat belanjawan belum tentu jadi undi, kata penganalisis

Bantuan kewangan dan manfaat lain dalam Belanjawan 2027 mampu meningkatkan sentimen awam terhadap Pakatan Harapan (PH), namun belum tentu diterjemahkan kepada undi pada PRU16, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, sentimen awam boleh berubah mengikut kos sara hidup, prestasi ekonomi, integriti kepimpinan, dan perkembangan politik.
“Dalam politik, penghargaan terhadap dasar kerajaan tidak semestinya bermakna kesetiaan buat parti pemerintah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) pernah melaksanakan inisiatif sama ketika menjadi kerajaan, termasuk bantuan tunai BR1M, barangan runcit Kedai Rakyat 1Malaysia, dan penubuhan pusat transformasi bandar setempat.
“Tetapi, ia tidak menjamin sokongan rakyat, malah mereka kalah pada PRU,” katanya merujuk PRU 2018 apabila gabungan itu hilang tampuk kuasa buat julung kali.
Walaupun Belanjawan 2027 inisiatif kerajaan, Kementerian Kewangan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.
Memandangkan PRU seterusnya perlu diadakan menjelang Februari 2028, Belanjawan 2027 mungkin menjadi belanjawan terakhir Anwar, jika beliau memanggil pilihan raya awal.
Belanjawan 2027 yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ‘belanjawan pilihan raya’, memperuntukkan belanja RM460 bilion — peningkatan hampir 10% berbanding Belanjawan 2026 — selain menawarkan pelbagai langkah bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna.

Tawfik Yaakub yang juga daripada UM berkata, langkah itu boleh meningkatkan sokongan, terutama dalam kalangan penerima secara langsung, namun kesannya mungkin bersifat sementara jika isi rumah terus berdepan tekanan kos sara hidup.
“Saya jangkakan mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah B40, penjawat awam, pesara kerajaan, pengundi muda, dan keluarga yang mempunyai anak bersekolah akan memberikan maklum balas paling positif.
“Ini kerana manfaat diumumkan menangani keperluan kewangan harian mereka. Tetapi, bantuan diterima tidak secara automatik diterjemahkan kepada sokongan politik,” katanya.
Beliau berkata, penyokong kerajaan dijangka melihat pendekatan diambil bukti pentadbiran prihatin terhadap rakyat, manakala pengundi yang bersikap kritikal mungkin menganggapnya sebagai strategi politik menjelang PRU16.
“Akhirnya, persepsi awam akan bergantung kepada ketelusan pelaksanaan dan sejauh mana rakyat benar-benar merasai manfaatnya,” katanya.
Tawfik berkata, inisiatif diperkenalkan juga mampu menarik minat sebahagian pengundi atas pagar, namun perkara itu sekali lagi bergantung kepada keadaan meluas ekonomi, termasuk harga barangan, gaji, dan peluang kerja.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.