The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, October 28, 2026

Putrajaya beralih kepada akauntabiliti dalam pembangunan Sabah, Sarawak

Translate

Pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud mengenai kelemahan berterusan dalam pelaksanaan projek pembangunan dibiayai kerajaan Persekutuan di Malaysia Timur menunjukkan perubahan positif ke arah akauntabiliti lebih besar, kata penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan itu penting kerana ia menunjukkan kesediaan untuk menilai secara terbuka keberkesanan Putrajaya, bukan sekadar menjadikan peningkatan peruntukan Persekutuan sebagai ukuran kejayaan.

Awang Azman Pawi

Awang Azman Pawi.

“Dari sudut politik, ini menunjukkan peralihan daripada politik mengumumkan peruntukan kepada politik yang menekankan hasil sebenar pembangunan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata pengakuan itu boleh membuka ruang kepada budaya akauntabiliti yang lebih terbuka, sekiranya disusuli dengan tindakan konkrit.

Mustapha pada 22 Okt lalu berkata kerajaan tidak boleh berpuas hati sekadar mengumumkan peruntukan berbilion ringgit jika manfaatnya masih belum sampai kepada rakyat.

Beliau mengakui masih ada masalah berterusan melibatkan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik, selain kelewatan projek pembangunan utama Persekutuan termasuk Lebuhraya Pan Borneo.

Mustapha berkata peruntukan Persekutuan untuk Sabah meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak menerima peningkatan daripada RM10.2 bilion kepada RM15.1 bilion dalam tempoh sama.

Awang Azman berkata pendekatan Mustapha menunjukkan perubahan dalam cara pemimpin Sabah di peringkat Persekutuan memperjuangkan kepentingan negeri itu, daripada hanya mendapatkan peruntukan kepada memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan.

“Pemimpin Sabah di peringkat Persekutuan bukan hanya bertanggungjawab mendapatkan peruntukan. Mereka juga perlu berani mendesak kementerian dan agensi pelaksana supaya setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan perubahan bermakna hanya akan berlaku jika kesediaan itu diterjemahkan kepada pemantauan projek yang lebih rapi, ketelusan perbelanjaan yang lebih baik serta tindakan bagi mencegah atau menangani kelewatan pelaksanaan.

Katanya, pendekatan Mustapha juga boleh meningkatkan keyakinan rakyat kerana menunjukkan pemahaman terhadap masalah harian yang dihadapi penduduk Sabah dan Sarawak.

“Kepercayaan politik tidak terbina hanya dengan mengakui adanya masalah, tetapi melalui bukti bahawa masalah itu benar-benar diselesaikan,” katanya.

Awang Azman turut mencadangkan petunjuk prestasi yang jelas, kemas kini berkala kepada orang ramai mengenai kemajuan projek serta akauntabiliti lebih besar dalam kalangan agensi pelaksana.

Tanggungjawab bersama dalam pembangunan

Azmi Hassan pula menyifatkan kenyataan Mustapha sebagai perkembangan positif, sambil berkata ia turut menunjukkan pemimpin Sabah dan Sarawak perlu menilai peranan mereka sendiri dalam menangani kelemahan pembangunan.

Azmi Hassan.

Beliau berkata kecenderungan menyalahkan kerajaan Persekutuan sepenuhnya atas masalah pembangunan di Sabah dan Sarawak perlu dinilai semula, terutama apabila peruntukan sudah disediakan tetapi projek masih gagal bergerak seperti dijadualkan.

“Strategi menyalahkan kerajaan Persekutuan mungkin pernah berkesan satu ketika dahulu, tetapi tidak lagi sekarang,” katanya.

Azmi berkata kelemahan dalam pengurusan dan pelaksanaan projek juga perlu diberi perhatian.

Katanya, lebih signifikan apabila isu itu dibangkitkan sendiri oleh seorang menteri Persekutuan dari Borneo, dan menyifatkan kenyataan Mustapha sebagai isyarat kepada pemimpin Sabah dan Sarawak supaya mengakui kelemahan lama dan semasa dalam pelaksanaan pembangunan.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.