Polis tahu bagaimana juruterbang bawa dadah lepas saringan di KLIA

Polis mengetahui bagaimana juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia, bersama lebih 26kg dadah, akhir bulan lalu berjaya melepasi prosedur saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata maklumat itu diperoleh selepas pasukannya berjumpa dan menyoal juruterbang berkenaan sejak dua hari lalu.
Bagaimanapun, katanya butiran lanjut belum boleh didedahkan kepada umum ketika ini.
Beliau berkata, Bukit Aman turut memperoleh maklumat penting mengenai rangkaian dadah antarabangsa yang terbabit.
Justeru, katanya, polis kini menjejaki anggota sindiket dadah di Malaysia dan luar negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
“Juruterbang berkenaan turut memberikan kerjasama yang baik,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan berkata, juruterbang bertugas dengan Malaysia Airlines itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai, selepas didapati membawa 25kg pil ecstasy dan 2.7g methamphetamine.
Malaysian Aviation Group (MAG) kemudian menjelaskan juruterbang terbabit ialah pegawai kedua yang tidak bertugas dan menaiki tempat duduk tambahan dalam kokpit sebagai pemerhati, bukan mengendalikan penerbangan itu.
Susulan kes itu, MAG mengarahkan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang syarikat penerbangan bawah kumpulannya, bermula dengan 1,260 juruterbang Malaysia Airlines, sementara pihak berkuasa mengetatkan saringan keselamatan di lapangan terbang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.