Kisah 2 pemimpin muda

Saya tidak dapat mengelak daripada melihat perbezaan ketara antara gaya kepimpinan yang ditonjolkan menjelang PRN Melaka.
Walaupun kedua-duanya bukan calon ketua menteri, Adam Adli dari PKR dan Dr Akmal Saleh dari Umno boleh dianggap sebagai wajah generasi masa depan parti masing-masing.
Pada pandangan saya, Adam menampilkan pendekatan progresif dan bersahaja. Namun, beliau tetap teguh dengan prinsipnya. Adam pernah menjadi pemimpin mahasiswa yang ditahan dan berdepan tekanan ketika pemerintahan terdahulu.
Beliau kemudiannya memilih untuk menyertai sebuah parti berbilang kaum dan perjalanan politiknya berkembang daripada ketua Pemuda PKR kepada timbalan menteri pendidikan tinggi selepas memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.
Walaupun sering dikritik berhubung kegagalan memansuhkan pinjaman PTPTN, saya sendiri melihat usahanya untuk memastikan manfaat pembangunan negara turut dinikmati golongan kurang bernasib baik.
Berbeza pula dengan Akmal dari Umno yang lebih dikenali dengan pendekatan lantang dan konfrontasi. Kedua-duanya hanya berbeza usia setahun, tetapi mencerminkan cara berpolitik yang sangat berlainan.
Bagi saya, rekod politik Akmal dipenuhi kontroversi. Namun, pendekatan itu mungkin mempunyai tarikannya tersendiri dalam kalangan kelompok tertentu, termasuk golongan mat rempit.
Minggu lalu, beliau sekali lagi kalah dalam saman fitnah apabila Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan memihak kepada Teresa Kok berhubung kenyataannya pada September 2024 yang mengecam Ahli Parlimen Seputeh itu kerana mempersoalkan cadangan mewajibkan pensijilan halal.
Kok dianugerahkan ganti rugi am berjumlah RM250,000, selain kos RM50,000. Akmal sebelum itu menggelarnya sebagai ‘Nyonya tua’ dan mencadangkan supaya logo tidak halal diletakkan pada dahinya.
Kini, Akmal berkata beliau bersedia melepaskan peluang mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada PRN Melaka 14 Nov ini sekiranya kes mahkamah yang dihadapinya mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan menjejaskan peluang Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau didakwa membuat kenyataan menerusi Facebook yang didakwa boleh menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam, atau mengganggu ketenteraman awam.
Pertuduhan itu berkaitan video dan hantaran Facebook yang tular sekitar 11 Ogos 2025 mengenai insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.
Akmal berkata beliau sudah menyampaikan pendiriannya kepada Presiden Umno Zahid Hamidi dan menegaskan bahawa kepentingan parti perlu didahulukan berbanding cita-cita peribadinya.
Namun, ini hanyalah kontroversi terbaharu membabitkan seorang ahli politik yang meletakkan dirinya sebagai pejuang kepentingan kaum. Sebelum ini, Akmal juga pernah berdepan saman fitnah yang dikemukakan oleh adik-beradiknya.
Pada 2024, beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing selepas bak kut teh diiktiraf sebagai makanan warisan negara. Pada tahun sama, pertikaian mengenai sekolah vernakular turut menyaksikan beliau membuat kenyataan yang memberi gambaran bahawa lawannya, P Ramasamy, berada dalam keadaan mabuk.
Dan tentunya, Akmal juga mengetuai kempen memboikot KK Mart selepas stoking tertera kalimah ‘Allah’ didapati dijual di rangkaian kedai serbaneka itu.
Sama ada pendekatan politik seperti ini membawa manfaat atau sebaliknya, saya serahkan kepada pembaca untuk menilainya.
Adam pula memilih untuk bekerja secara lebih senyap dalam membina muafakat. Keprihatinannya terhadap semua rakyat Malaysia tidak menjadikannya kurang Melayu atau kurang Islam.
Sebenarnya, tanggapan seperti itu merupakan antara kekeliruan besar yang masih wujud dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Sepanjang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan, Adam menyokong beberapa inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai, termasuk langkah memberi kelonggaran dalam pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Di bawah langkah pembayaran balik yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, peminjam berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan diwajibkan membuat bayaran minimum RM50 sebulan, manakala mereka yang berpendapatan kurang RM2,500 sebulan layak mendapat pengecualian bayaran balik.
Antara inisiatif lain untuk pelajar ialah bantuan bagi pas perjalanan seperti My50 dan MyKomuter50, selain subsidi penerbangan FlySiswa sebanyak RM500 untuk pelajar yang berulang-alik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Adam turut mempromosikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyokong penghidupan semula program Rakan Muda untuk pembangunan belia.
Beliau juga terlibat dalam projek infrastruktur dan kebajikan di Hang Tuah Jaya, termasuk usaha mitigasi banjir di kawasan berkenaan.
Lebih penting daripada semua itu, beliau melihat masa depan dengan fikiran yang terbuka dan keprihatinan terhadap orang lain.
Pemimpin dengan pendekatan sebegini diperlukan sekiranya kita mahu berhenti mengulangi permasalahan sama tanpa bergerak ke hadapan.
Martin Vengadesan ialah bekas editor yang kini berkhidmat sebagai perunding komunikasi strategik kepada Kementerian Komunikasi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.