Mahkamah kekal pemecatan pengurus berhubung tunggakan sewa RM2.52 juta

Sebuah syarikat pengurusan hartanah mempunyai alasan kukuh untuk memecat seorang pengurus kanan yang gagal memastikan penyewa mempunyai perjanjian sewaan sah dan tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mendapatkan semula tunggakan sewa RM2.52 juta, menurut Mahkamah Perusahaan.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan Andersen Ong menolak tuntutan Hairizal Hosman, bekas penolong pengurus besar merangkap ketua pemasaran, jualan dan penyewaan Encorp Must Sdn Bhd.
Hairizal dipecat pada 15 Nov 2024 atas dakwaan mengabaikan tugas dan melanggar tanggungjawab fidusiari berkaitan penyewa di Encorp Strand Mall dan Warna Avenue.
Syarikat itu mendakwa Hairizal gagal memastikan semua penyewa mempunyai perjanjian sewaan yang sah, selain tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan semula tunggakan sewa berjumlah RM2,522,037.
Dalam penghakiman setebal 28 muka surat, Ong berkata bukti yang dikemukakan, termasuk pengakuan Hairizal dan hasil audit dalaman, menunjukkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
Ong turut menolak hujah bahawa peletakan jawatan Hairizal menghalang syarikat daripada mengambil tindakan tatatertib terhadapnya.
Sebelum dipecat, Hairizal telah mengemukakan notis peletakan jawatan tiga bulan, namun syarikat menolaknya dan meneruskan tindakan tatatertib.
Ong berkata penyerahan notis peletakan jawatan tidak dengan sendirinya menamatkan hubungan pekerjaan serta-merta.
Katanya, kontrak pekerjaan serta hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak kekal berkuat kuasa sehingga tempoh notis tamat, sekali gus membolehkan syarikat mengambil tindakan tatatertib dalam tempoh itu.
Mahkamah turut mendapati tiada halangan undang-undang yang menghalang Hairizal daripada menjawab pertanyaan syarikat, walaupun beliau memberi alasan telah menerima nasihat undang-undang dan terdapat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan untuk tidak memberikan jawapan substantif.
Ong berkata kegagalan Hairizal melaksanakan tanggungjawabnya mendedahkan syarikat kepada risiko kontrak dan kerugian kewangan yang besar, dengan tunggakan sewa mencecah RM2.52 juta.
“Melihat kepada sifat, tahap keseriusan dan kesan kegagalan berkenaan, mahkamah berpuas hati bahawa salah laku yang dibuktikan terhadapnya cukup serius untuk mewajarkan pemecatan,” katanya.
Ong memutuskan Hairizal dipecat atas sebab atau alasan yang munasabah dan menolak tuntutannya terhadap syarikat itu.
Muis Majid dan Mastura Mustafa mewakili Hairizal, manakala Edward Andrew Saw dan Kee Shu Min mewakili syarikat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.