PunchPower minister faces heat over blackouts한겨레오세훈 “시장 마음대로 움직일 수 있단 이재명 정부 오만, 지옥문 열었다”InquirerPolice probe discovery of unidentified woman’s body in CalapanThe Jerusalem Post‘Chutzpah Girls’: Tami Schlossberg Pruwer brings Jewish heroines to lifeZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFNew Straits TimesIn Chile, Cape Verde hero Vozinha struggles to cope with glare of fameEl ComercioTabla de Liga 1 2026 EN VIVO: así van las posiciones tras victoria de Melgar ante Juan Pablo IISözcüCamlarını kırdığı otomobili bir saat sonra ateşe verdiSportstarEgypt parts ways with coach Hassan, Maher to replace himThe Sydney Morning HeraldBig in Japan: Nawaqanitawase impressing new teammates in first weekSBS 뉴스민주당·정부, 오늘 고위 협의…내년도 예산안 논의 전망The Indian ExpressBuilding collapses in Old Delhi: Death toll rises to 6, building owner held
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, November 8, 2026

Penangguhan tahanan rumah Najib bukan hanya soal seorang individu

Translate

Pertikaian berhubung cadangan pemindahan bekas perdana menteri, Najib Razak dari Penjara Kajang ke tahanan rumah bukan lagi sekadar persoalan sama ada beliau patut pulang ke rumah.

Pada dasarnya, kontroversi ini menimbulkan persoalan lebih besar: apakah yang berlaku apabila pengampunan diraja, perintah mahkamah dan satu lagi hukuman jenayah bertembung dalam keadaan yang tidak dijelaskan dengan baik oleh undang-undang sedia ada?

Perkembangan terbaharu menunjukkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Penjara, barisan peguam Najib dan Istana Negara seolah-olah berada di pihak berbeza dalam perdebatan berhubung pelaksanaan berbanding prinsip. Semua pihak menyatakan mereka berusaha menegakkan undang-undang. Tetapi, percanggahan pendapat timbul berhubung apa yang sebenarnya dikehendaki undang-undang dan titah Yang di-Pertuan Agong dari segi pelaksanaannya.

Perbezaan ini penting.

Perbincangan awam sebahagian besarnya tertumpu kepada persoalan sama ada Najib patut dibebaskan dari penjara serta-merta. Tetapi, isu lebih penting ialah sama ada kerangka undang-undang Malaysia mampu menangani situasi seorang banduan diberikan pengampunan diraja bersyarat dan pada masa sama perlu menjalani satu lagi hukuman penjara.

Pendirian Yang di-Pertuan Agong jelas. Najib telah diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, dengan syarat beliau membayar denda RM50 juta yang dikenakan mahkamah. Syarat itu kini telah dipenuhi.

Dalam keadaan biasa, perkara ini dianggap selesai.

Tetapi, dokumen Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda itu menimbulkan kekeliruan berhubung kesan undang-undang pembebasan Najib dan sama ada hukuman bagi kes SRC itu diteruskan sehingga 2028 atau dianggap selesai.

Dokumen yang dikenali sebagai “Order of Discharge on Payment of Fine” mengarahkan Najib dibebaskan serta-merta, tetapi dokumen itu turut menyatakan baki hukumannya perlu diteruskan bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Persoalannya ialah apakah maksud “dilepaskan” dalam konteks ini. Adakah ia bermaksud Najib perlu meninggalkan Penjara Kajang dan meneruskan baki hukuman bagi kes SRC di rumah? Atau adakah ia bermaksud hukuman SRC itu telah selesai dari segi undang-undang? AGC menyatakan penjelasan lanjut diperlukan bagi memahami kesan perintah berkenaan.

Perbezaan ini bukan soal istilah semata-mata.

Hukuman penjara berasingan selama 15 tahun Najib dalam kes 1MDB diperintahkan bermula hanya selepas hukuman kes SRC tamat. Jika hukuman SRC diteruskan bawah tahanan rumah, susunan tempoh hukuman itu tidak rumit. Tetapi, jika ia dianggap selesai sebaik saja denda dibayar, timbul persoalan sama ada hukuman bagi kes 1MDB perlu bermula serta-merta.

Disebabkan ketidakpastian ini, AGC berpendapat penjelasan lanjut diperlukan sebelum sebarang pemindahan dilaksanakan.

Pengkritik mungkin menganggap perkara ini sebagai kelewatan tidak perlu, khasnya selepas Istana Negara menyatakan semua syarat pengampunan telah dipenuhi. Tetapi, pihak yang menyokong pendirian AGC berpendapat kekeliruan perlu diselesaikan sekarang bagi mengelakkan timbul cabaran undang-undang baharu kelak.

Kedua-dua hujah ini mempunyai asas tersendiri.

Isu ini mendedahkan mungkin ada kelemahan dalam kerangka perundangan Malaysia. Walaupun hukuman penjara, parol dan pengurangan tempoh hukuman mempunyai undang-undang serta prosedur jelas, tahanan rumah masih agak baharu di negara ini. Tiada undang-undang khusus menyeluruh untuk menjelaskan bagaimana tahanan rumah perlu dilaksanakan, bagaimana pematuhan perlu dipantau atau diselaraskan dengan hukuman jenayah lain.

Ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas membuka ruang kepada pelbagai tafsiran berbeza.

Isu ini juga bukan hanya membabitkan Najib. Sebarang prinsip undang-undang yang ditetapkan dalam kes beliau boleh mempengaruhi cara pengampunan diraja dilaksanakan pada masa depan serta bagaimana bentuk tahanan luar biasa diuruskan. Oleh itu, tafsiran yang bakal dibuat mahkamah mungkin membawa implikasi lebih luas, bukan hanya terhad kepada seorang banduan berprofil tinggi.

Pada masa sama, aspek keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan negara juga tidak boleh diabaikan.

Status Najib sebagai bekas perdana menteri menyebabkan setiap perkembangan diteliti dari sudut prinsip kesamarataan di sisi undang-undang. Ramai rakyat Malaysia mahu jaminan bahawa apa jua keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip undang-undang jelas, bukannya dipengaruhi pertimbangan politik atau tekanan institusi.

Oleh itu, ketelusan sangat penting.

Orang ramai berhak mendapat penjelasan yang jelas bagaimana pengampunan itu sepatutnya dilaksanakan, bagaimana perintah mahkamah dan arahan penjara diselaraskan serta bagaimana hukuman berasingan bagi kes 1MDB diambil kira dalam keadaan ini.

Akhirnya, pertikaian ini tidak patut menjadi persaingan antara institusi. Titah Yang di-Pertuan Agong, mahkamah dan badan eksekutif masing-masing mempunyai peranan Perlembagaan yang ditetapkan. Cabarannya adalah untuk memastikan semua peranan ini dapat dilaksanakan dengan selaras apabila berlaku pertindihan bidang kuasa.

Persoalan segera ialah sama ada Najib akan dibebaskan dari penjara atau kekal di sana buat sementara waktu. Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada sistem perundangan Malaysia mampu memberikan jawapan jelas dan konsisten apabila berdepan situasi tidak dijangka secara khusus oleh undang-undang sedia ada.

Isu ini jauh lebih besar daripada hanya melibatkan Najib Razak.

Ibrahim M Ahmad ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.