DAP sedia guna lambang roket pada PRU akan datang, kata LGE

DAP sedia menggunakan lambang roket pada PRU akan datang sekiranya PKR mahu parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding menggunakan lambang masing-masing, kata Lim Guan Eng.
“Saya berikan pandangan peribadi, ini bukan pandangan parti. Sekiranya PKR nak, saya rasa DAP sedia gunakan roket untuk PRU yang akan datang,” kata penasihat DAP ini pada majlis rumah terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang.
Semalam, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata cadangan parti-parti PH menggunakan lambang masing-masing pada PRU16 wajar dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan PH, mengambil kira pengalaman menghadapi beberapa pilihan raya sebelum ini serta realiti dan suasana politik semasa.
Kamil berkata PKR mempunyai pengalaman menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya sebelum ini, dan perkara itu tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.
Pada PRU14, DAP mengetepikan logo roketnya buat kali pertama dan bertanding di bawah simbol PKR bersama parti-parti PH lain di Semenanjung. Lim, yang ketika itu merupakan setiausaha agung DAP, mempertahankan langkah tersebut sebagai tanda perpaduan dalam kalangan ahli gabungan.
DAP kemudian bertanding di bawah logo PH pada PRU15 pada tahun 2022, manakala cawangannya di Sabah dan Sarawak diberi kebebasan untuk menentukan simbol yang ingin digunakan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.