5,000 pelajar B40 Johor terima pek SIM Yes 5G

Seramai 5,000 pelajar B40 di Johor akan menerima pek SIM prabayar Yes 5G berserta 50GB data internet percuma menerusi inisiatif digerakkan atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah terhadap pendidikan dan kebajikan generasi muda.
Sumbangan bernilai RM100,000 itu disalurkan YTL Communications Sdn Bhd menerusi Inisiatif Kesalinghubungan Digital Johor dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Inisiatif itu turut mengambil kira keperluan pelajar susulan keadaan jerebu yang melanda negara baru-baru ini, khususnya bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat diteruskan dengan lebih lancar.
Setiap pek SIM dilengkapi 50GB data internet berkelajuan tinggi secara percuma bagi memudahkan pelajar mengakses bahan pendidikan digital dan mengikuti pembelajaran dari rumah.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Wing K Lee kepada Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishammuddin Abdul Rahim, semalam.
Hishammuddin berkata sumbangan itu dapat membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan keluarga B40 yang berdepan kekangan akses internet.
Menurutnya, kemudahan berkenaan juga dapat memastikan pelajar mengikuti PdPR dengan lebih lancar dan berkesan.
Sementara itu, Wing berharap pengagihan pek SIM percuma itu dapat membantu pelajar di Johor supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Jacob Yeoh Keong Yeow, Ketua Pemasarannya Chay Wan Nee dan Pengurus Komunikasi Korporat YRZSNJ Dawson Yeang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.